Menu

Pengguna BNPL Di Malaysia Cecah 8 Juta Akaun, Baki Terkumpul RM5.3 Bilion Pada Suku Pertama 2026

Alyaa 1 week ago

Jumlah pemegang akaun ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) di Malaysia terus meningkat kepada lapan juta pada suku pertama 2026, dengan jumlah baki terkumpul mencecah RM5.3 bilion.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, jumlah tidak berbayar dalam tempoh sama adalah sebanyak RM181 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL. Walaupun angka penggunaan menunjukkan pertumbuhan ketara, MOF menjelaskan bahawa tahap hutang BNPL secara keseluruhannya masih terkawal.

“Secara keseluruhan, hutang BNPL kekal rendah, iaitu sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah dalam negara setakat akhir 2025,” menurut MOF.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa kira-kira 40 peratus pengguna BNPL terdiri daripada golongan berusia 30 tahun dan ke bawah, dengan kemudahan tersebut lazimnya digunakan untuk pembelian harian bernilai kecil seperti makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan. 

Jawapan bertulis itu dikeluarkan bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta MOF menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) untuk melindungi pengguna BNPL, berikutan transaksi BNPL yang mencecah RM9.3 bilion pada separuh pertama 2025, termasuk persoalan sama ada had kadar faedah akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan.

Susulan perkembangan pesat sektor ini, semua penyedia BNPL kini diwajibkan mendapatkan lesen daripada SKP. Keperluan pelesenan tersebut membolehkan SKP memastikan hanya penyedia yang memenuhi keperluan kawal selia, tadbir urus dan perlindungan pengguna dibenarkan beroperasi di negara ini. SKP juga telah mengeluarkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan yang menetapkan standard minimum yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia BNPL.

“Tempoh permohonan lesen dibuka 1 Jun lalu dan penyedia BNPL sedia ada diberi tempoh hingga 30 November depan untuk mengemukakan permohonan masing-masing,” menurut MOF.

Berhubung isu had kadar faedah, SKP kini sedang meneliti keperluan menetapkan had tersebut dengan mengambil kira faktor seperti corak penggunaan, kadar pembayaran balik, risiko keberhutangan serta kesannya terhadap akses kepada kredit. Sebarang keputusan berkaitan akan dibuat berdasarkan data dan bukti empirikal bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan pengguna, akses kepada pembiayaan bertanggungjawab serta pembangunan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –