Menu

Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO: Panduan Lengkap Cara Opt-Out Melalui Notis Pelepasan Liabiliti

Alyaa 2 weeks ago

Kerajaan kini memberi pilihan kepada pekerja tempatan sama ada mahu meneruskan atau menghentikan caruman Skim LINDUNG 24 Jam, atau nama rasminya Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) di bawah PERKESO.

Ini bermakna, pekerja tempatan kini boleh memilih sama ada untuk terus menyertai skim berkenaan atau membuat deklarasi Tidak Menyertai (opt-out) melalui portal PERKESO.

Kami kongsikan cara membuat deklarasi tersebut secara dalam talian, langkah demi langkah.

Apa Yang Berubah?

Sebelum ini, Skim LINDUNG 24 Jam dilaksanakan secara automatik kepada lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta 4, dengan kadar caruman bermula sebanyak 0.75% daripada gaji bulanan untuk fasa pertama, tertakluk kepada siling gaji RM6,000.

Bagaimanapun, susulan keputusan terbaharu Jemaah Menteri, pelaksanaan skim ini kini dibezakan mengikut kategori pekerja:

  • Pekerja tempatan: Caruman kini bersifat sukarela dan pekerja boleh memilih sama ada mahu menyertai atau tidak.
  • Pekerja asing: Caruman kekal diwajibkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Walaupun anda ingin meneruskan perlindungan di bawah skim ini, PERKESO menggalakkan setiap pekerja tempatan membuat deklarasi melalui portal dengan memilih sama ada Menyertai atau Tidak Menyertai.

PERKESO juga memaklumkan bahawa skim ini akan dikaji semula menjelang penghujung tahun.

Fahami Skim LINDUNG 24 Jam Sebelum Membuat Keputusan

Sebelum membuat deklarasi tidak menyertai, anda disarankan memahami terlebih dahulu perlindungan yang ditawarkan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

Skim ini memberi perlindungan sekiranya anda mengalami kemalangan di luar waktu bekerja, contohnya ketika memandu pulang selepas makan malam, bersukan atau ketika bercuti bersama keluarga pada hujung minggu.

Antara manfaat yang ditawarkan ialah:

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Sementara
  • Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Faedah Orang Tanggungan
  • Faedah Pengurusan Jenazah
  • Pemulihan Fizikal dan Vokasional
  • Elaun Layanan Sentiasa (jika berkenaan)

Menurut PERKESO, hampir RM2 juta manfaat telah dibayar sepanjang bulan pertama pelaksanaan skim ini, melibatkan purata kira-kira 27 kes kemalangan setiap hari. Sebelum skim ini diperkenalkan, sekitar 13 permohonan sehari tidak dapat diluluskan kerana kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.

Oleh itu, pertimbangkan keperluan diri dan keluarga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana pilihan yang telah dihantar tidak boleh diubah.

Cara Membuat Deklarasi Tidak Menyertai (Opt-Out) Skim LINDUNG 24 Jam

Pekerja yang mahu kekal menyertai LINDUNG 24 Jam tidak perlu mengambil sebarang tindakan. Namun, mereka yang tidak mahu menerima perlindungan di bawah skim ini wajib menghantar Notis Pelepasan Liabiliti melalui Portal LINDUNG Faedah.

Pastikan notis dihantar selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2026. Jika tiada notis diterima sehingga tarikh tersebut, penyertaan anda akan diaktifkan secara automatik.

Proses ini melibatkan dua bahagian, iaitu mendaftar akaun portal PERKESO (jika belum mempunyai akaun) dan membuat pilihan penyertaan.

Nota: Portal mungkin mengalami trafik yang tinggi pada hari-hari awal kerana diakses oleh ramai pengguna. Sekiranya anda tidak dapat mengakses sistem, cuba semula selepas beberapa ketika.

Bahagian A: Daftar Akaun Portal PERKESO

Langkah 1: Layari portal PERKESO

Gambar: PERKESO

Layari Portal Permohonan Faedah PERKESO.

Sekiranya anda telah mempunyai akaun, klik Log Masuk dan teruskan ke Bahagian B.

Jika belum mempunyai akaun, klik Daftar Akaun.

Langkah 2: Lengkapkan maklumat pendaftaran

Gambar: PERKESO

Masukkan maklumat berikut:

  • Nama penuh seperti dalam Kad Pengenalan
  • Nombor Kad Pengenalan
  • Alamat e-mel
  • Kata laluan (minimum lapan aksara dan mengandungi sekurang-kurangnya satu simbol seperti @, #, $ atau %)

Selepas itu, tandakan persetujuan terhadap syarat penggunaan dan klik Daftar Akaun.

Langkah 3: Pengesahan pendaftaran

Gambar: PERKESO

Sistem akan memaparkan mesej bahawa pendaftaran berjaya. Klik Seterusnya untuk meneruskan.

Bahagian B: Lengkapkan Perakuan Pelepasan Liabiliti

Langkah 1: Pilih Jenis Permohonan

Gambar: PERKESO

Pada bahagian Perakuan Pekerja, tandakan pada kotak untuk menghantar Notis Pelepasan Liabiliti. Pilihan ini hanya perlu dibuat oleh pekerja tempatan yang tidak mahu menyertai Skim LINDUNG 24 Jam.

Langkah 2: Sahkan perakuan

Gambar: PERKESO

Sekiranya anda mempunyai lebih daripada seorang majikan dan memilih untuk menyertai skim ini, pilih majikan yang sedang mencarum secara aktif.

Tandakan kotak perakuan pengesahan sebelum klik Hantar.

Langkah 3: Buat pengesahan akhir

Gambar: PERKESO

Jika memilih Tidak Menyertai, klik “Sahkan, Saya Tidak Mahu Menyertai”.

Sekiranya ingin menukar pilihan sebelum permohonan dihantar, klik Kembali.

Langkah 4: Permohonan berjaya

Gambar: PERKESO

Sistem akan memaparkan mesej bahawa permohonan anda berjaya dihantar. Klik OK untuk meneruskan.

Langkah 5: Muat turun Borang Deklarasi

Gambar: PERKESO

Klik Muat Turun Borang Deklarasi dan simpan salinan tersebut sebagai rekod rasmi status penyertaan anda.

Gambar: PERKESO

Dokumen ini penting sebagai bukti bahawa anda telah membuat deklarasi melalui portal PERKESO.

Tidak Mahu Guna Portal? Borang Manual Turut Disediakan

Bagi mereka yang tidak mahu menggunakan portal dalam talian, PERKESO turut menyediakan borang deklarasi secara manual.

Borang Penyertaan atau Deklarasi Tidak Menyertai Skim LINDUNG 24 Jam (SKBBK) bersama panduan pengisian boleh diperoleh melalui saluran rasmi PERKESO.

Sama ada anda memilih untuk terus menyertai atau membuat deklarasi tidak menyertai, pastikan keputusan dibuat selepas memahami perlindungan yang ditawarkan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

Jangan lupa memuat turun dan menyimpan Borang Deklarasi sebagai rekod rasmi selepas proses selesai.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

    – Advertisement –
    Written By

    – Advertisement –