Setiap edisi Piala Dunia pasti hadir dengan cerita dan sejarah tersendiri. Namun, Piala Dunia FIFA 2026 boleh dikatakan antara edisi paling unik setakat ini, dengan format yang lebih besar, lebih banyak negara tuan rumah dan beberapa perkara menarik untuk diketahui oleh peminat bola sepak.
Berikut adalah tujuh fakta menarik mengenai Piala Dunia FIFA 2026 yang mungkin anda belum tahu.
1. Piala Dunia Terbesar Dalam Sejarah
Jika anda merasakan jadual perlawanan kali ini lebih padat, memang ada sebabnya.
Piala Dunia 2026 menyaksikan jumlah pasukan meningkat daripada 32 kepada 48 negara, menjadikannya edisi terbesar sejak kejohanan ini diperkenalkan pada tahun 1930.
Pertambahan ini memberi peluang kepada lebih banyak negara dari seluruh dunia untuk merasai pengalaman beraksi di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa.
2. Sebanyak 104 Perlawanan Akan Berlangsung
Dengan lebih banyak pasukan bertanding, jumlah perlawanan juga meningkat dengan ketara.
Piala Dunia 2026 akan menampilkan 104 perlawanan, berbanding hanya 64 perlawanan dalam edisi-edisi sebelum ini.
Bagi peminat bola sepak, ini bermakna lebih banyak aksi menarik untuk ditonton sepanjang tempoh kejohanan.
3. Pertama Kali Dianjurkan Oleh Tiga Negara
Sebelum ini, Piala Dunia hanya pernah dianjurkan oleh satu atau dua negara.
Namun kali ini, Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bergabung sebagai tuan rumah bersama, menjadikan Piala Dunia 2026 sebagai edisi pertama yang dianjurkan oleh tiga negara serentak.
Ia juga menjadikan kejohanan ini antara yang paling meluas dari segi lokasi dan logistik.
4. Mexico Cipta Rekod Baharu
Mexico bukan sekadar menjadi salah satu tuan rumah.
Negara itu mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama yang menganjurkan Piala Dunia sebanyak tiga kali, selepas turut menjadi hos pada tahun 1970 dan 1986.
Tiada negara lain yang pernah mencapai rekod tersebut sebelum ini.
5. Laluan ke Final Kini Lebih Sukar
Jika sebelum ini pasukan hanya perlu mengharungi tujuh perlawanan untuk muncul juara, situasinya berbeza pada tahun ini.
Pasukan yang berjaya mara sehingga ke final perlu bermain lapan perlawanan, sekali gus menjadikan perjalanan untuk menjulang trofi lebih mencabar dari segi fizikal dan mental.
6. Beberapa Negara Membuat Debut Bersejarah
Salah satu perkara paling menarik dalam setiap Piala Dunia adalah kemunculan wajah baharu.
Tahun ini, beberapa negara berjaya mencipta sejarah apabila layak ke Piala Dunia buat kali pertama, termasuk Jordan, Uzbekistan dan Cape Verde.
Kehadiran pasukan-pasukan ini membuktikan jurang bola sepak dunia semakin mengecil dan persaingan semakin sengit.
7. Messi dan Ronaldo Berpotensi Cipta Rekod Dunia
Walaupun kedua-duanya sudah berada di penghujung karier, nama Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo masih menjadi perhatian utama peminat.
Jika mereka terus beraksi bersama negara masing-masing sepanjang kejohanan ini, kedua-dua legenda ini berpeluang menjadi pemain pertama dalam sejarah yang tampil dalam enam edisi Piala Dunia.
Satu rekod yang mungkin sukar diatasi dalam masa terdekat.
Piala Dunia FIFA 2026 hadir sebagai salah satu edisi paling besar dan unik dalam sejarah kejohanan ini. Dengan 48 pasukan, 104 perlawanan, tiga negara tuan rumah dan pelbagai rekod baharu yang tercipta, edisi kali ini membawa skala yang jauh berbeza berbanding sebelum ini.
Gambar utama: FIFA/Facebook
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Leapmotor APP Penang Open 2026 Himpunkan Lebih 1,200 Pemain Di Gurney Drive
SCORE Marathon 2026 Putrajaya: Info Penutupan Jalan Dan Tip Penting Untuk Pelari
Sukan SEA 2027 Malaysia: Ini Simbolik Logo, Tema ‘Raikan Perpaduan’ Dan Maskot TUAH
Azeem Fahmi Sahkan Gelaran ‘Raja Pecut’ Asia B-23 Selepas Rangkul Emas 100m Di Ordos
Tayangan Skrin Besar Final Piala Dunia FIFA 2026 Di Unifi Arena – Masuk Percuma, Daftar Sekarang
Malaysia Di Commonwealth Games Glasgow 2026 — Tanpa Badminton & Squash, Siapa Harapan Kita Untuk Menang Pingat?