Menu

Stadium Nasional Dijenamakan Semula Sebagai TM Stadium Nasional, Stadium Putra Kini Unifi Arena

Alyaa 3 months ago

Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil kini dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memeterai kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM).

Kerjasama tersebut berkuat kuasa mulai 6 Mac 2026 selama tiga tahun. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan dua venue ikonik negara itu terus kekal relevan serta mampu menjadi lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, sebagai pengurus kedua-dua stadium berkenaan, pihaknya komited untuk memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, kerjasama hak penamaan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha PSM untuk memperkukuh kelestarian serta pembangunan jangka panjang bagi kedua-dua venue tersebut.

Tambahnya, hasil daripada kerjasama tersebut akan digunakan untuk menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium agar pengunjung dapat menikmati pengalaman yang lebih selesa ketika menghadiri acara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi dua venue nasional yang cukup ikonik itu.

Beliau berkata, sejak sekian lama Stadium Nasional dan Stadium Putra menjadi lokasi rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan kepada atlet Malaysia, meraikan kejayaan dan menyaksikan pelbagai detik bersejarah.

Beliau berharap kerjasama ini dapat membantu memperkukuh kedudukan kedua-dua stadium tersebut agar terus menjadi tempat yang menyatukan masyarakat serta membangkitkan semangat kebanggaan negara untuk generasi akan datang.


Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –