Bantuan Khas Kewangan RM500 Dibayar 13 Mac, Kerajaan Umum Beberapa Inisiatif Menjelang Aidilfitri
Kerajaan mengumumkan beberapa langkah bantuan dan inisiatif bagi membantu rakyat membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, termasuk Bantuan Khas Kewangan 2026, peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa, serta penganjuran Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara.
Dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat menjelang musim perayaan.
Bantuan Khas Kewangan Dibayar 13 Mac 2026

Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 pada 13 Mac 2026 kepada beberapa kumpulan penerima yang layak.
Antara bantuan yang diumumkan ialah:
- RM500 kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak
- RM250 kepada pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen
- RM500 kepada lebih 70,000 penerima terdiri daripada imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru KAFA dan guru Takmir
Bantuan ini bertujuan menghargai sumbangan golongan tersebut serta membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Subsidi Tiket Penerbangan FLYsiswa Sehingga RM400

Dalam masa yang sama, kerajaan turut mengumumkan peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bagi membantu pelajar pulang ke kampung.
Melalui inisiatif ini, pelajar layak menerima subsidi tiket penerbangan sehingga RM400, khususnya bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Program ini kini diperluaskan kepada pelajar daripada:
- Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
- Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM)
- Universiti separa kerajaan
- Institut Perladangan dan Komoditi
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 50,000 pelajar untuk pulang ke kampung.
Lebih 1,300 Jualan Rahmah MADANI Menjelang Aidilfitri

Bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan, kerajaan turut menganjurkan 1,328 Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara.
Program ini akan berlangsung dari 9 hingga 20 Mac 2026, dengan fokus kepada barangan keperluan harian serta barangan basah bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
Selain itu, jumlah barangan yang dijual turut dipertingkatkan daripada 40 kepada sekurang-kurangnya 50 jenis barangan.
Larangan Penjualan Minyak Masak Paket kepada Warga Asing

Kerajaan turut memperketat penguatkuasaan bagi memastikan subsidi minyak masak sampai kepada rakyat Malaysia.
Melalui langkah ini, penjualan dan pembelian minyak masak paket 1kg kepada warga asing adalah dilarang, dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Mac 2026.
Langkah tersebut bertujuan membanteras ketirisan subsidi serta memastikan bekalan minyak masak bersubsidi terus dinikmati oleh rakyat tempatan.
Usaha Menangani Kos Sara Hidup
Semua langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melalui Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2026–2030, yang memberi fokus kepada pendekatan serampang dua mata iaitu:
- Menstabilkan harga barangan
- Meningkatkan pendapatan rakyat
Pelan ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian, kerajaan negeri, industri serta organisasi masyarakat bagi memastikan usaha menangani kos sara hidup dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp
