Infinix Note 60 Pro Rasmi di Malaysia: Model Pertama Infinix Dengan Snapdragon, Harga Bermula RM1,199
Selepas diperkenalkan di peringkat global, kini Infinix Malaysia secara rasmi melancarkan Infinix Note 60 Pro untuk pasaran tempatan. Menariknya, ini merupakan telefon pertama jenama tersebut yang dikuasakan cip Snapdragon, sekali gus menandakan satu lonjakan baharu dari segi prestasi dan pengalaman pengguna.
Lebih mencuri perhatian, peranti ini hadir dengan paparan mini LED interaktif di bahagian belakang yang dinamakan Active Matrix Display, ciri unik yang jarang ditemui dalam kelas harganya.

Infinix Note 60 Pro dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 4, menjadikannya model pertama Infinix menggunakan platform Snapdragon. Menurut Infinix, cip ini menawarkan peningkatan CPU sehingga 75% dan GPU sehingga 210% berbanding generasi sebelumnya, bersama peningkatan multitugas sekitar 25%.
Digabungkan dengan RAM sehingga 12GB dan storan 256GB, peranti ini mampu menjalankan permainan seperti Mobile Legends: Bang Bang dan Honor of Kings sehingga 120FPS.
Paparan 6.78 inci AMOLED beresolusi 1.5K menyokong kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak 4,500 nits. Skrin ini dilindungi Corning Gorilla Glass 7i, manakala sistem audio stereo pula ditala oleh JBL untuk pengalaman bunyi lebih imersif.
Bagi memastikan suhu kekal stabil ketika penggunaan berat, sistem penyejukan 3D IceCore Vapor Chamber turut disertakan.

Ciri paling unik sudah tentu Active Matrix Display di belakang dengan paparan LED mini yang boleh memaparkan notifikasi, animasi haiwan, emoji, serta permainan mini interaktif.
Dari segi fotografi, telefon ini dilengkapi kamera utama 50MP dengan OIS serta kamera ultra lebar 8MP. Ia menyokong rakaman video sehingga 4K, zum lossless 2x, serta fungsi Live Photo dan AI Studio untuk suntingan dalam peranti.
Baterinya berkapasiti besar 6,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W berwayar dan 30W tanpa wayar.
Note 60 Pro hadir dengan penarafan IP64 untuk ketahanan habuk dan percikan air. Ia turut menampilkan butang khas One-Tap Button yang boleh disesuaikan, serta sensor pemantauan kesihatan seperti kadar denyutan jantung dan tahap oksigen dalam darah.
Infinix turut menjanjikan 3 kali kemas kini OS dan 5 tahun tampalan keselamatan, memberikan nilai tambah dari segi sokongan jangka panjang.
Harga dan Promosi Pelancaran

Untuk pasaran Malaysia, hanya varian Pro ditawarkan buat masa ini dengan varian Ultra dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat. Berikut adalah harga rasmi Note 60 Pro:
- 8GB + 256GB – RM1,199
- 12GB + 256GB – RM1,399
Sempena pelancaran, pembeli akan menerima XWatch H5 Pro bernilai RM199 secara percuma, sementara stok masih ada. Selain itu, Infinix turut menyediakan waranti selama dua tahun untuk ketenangan pengguna.
Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik iaitu oren, biru, hitam dan coklat. Peranti ini boleh dibeli menerusi stor rasmi Infinix di Lazada, Shopee dan TikTok Shop.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
