Buat anda yang gemarkan secawan kopi, ada sebab besar untuk berbangga. Kuala Lumpur bakal muncul sebagai tumpuan penggiat industri kopi Asia menerusi dua inisiatif baharu, iaitu Festival Kopi Kuala Lumpur 2026-2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027.
Kedua-dua acara ini diperkenalkan pada satu majlis pelancaran di Pavilion Damansara Heights hari ini, yang menghimpunkan pemain industri, pengusaha kopi, rakan strategik serta peminat kopi. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Menurut beliau, budaya kopi tempatan mempunyai keunikan tersendiri, bermula daripada tradisi kedai kopi dan kopitiam sehinggalah kepada perkembangan pesat industri kopi khusus (specialty coffee) yang semakin mendapat perhatian. Beliau turut menyifatkan perkembangan budaya kopi ini sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang mampu memperkenalkan identiti Malaysia kepada pengunjung.
“Daripada kopi ‘O’, kopi ‘C’ dan kopi tarik yang menjadi kegemaran ramai, hinggalah kepada kemunculan kafe-kafe moden yang menawarkan pelbagai jenis kopi dan adunan kreatif, semuanya melambangkan evolusi budaya kopi negara,” katanya.
Buat anda yang tidak sabar untuk menikmatinya, Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan berlangsung lebih awal, iaitu dari 6 hingga 9 November ini. Festival ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menyelami kepelbagaian budaya kopi Malaysia, merangkumi warisan kopi tradisional serta perkembangan kopi khusus yang semakin popular dalam kalangan pengguna tempatan.
Seterusnya pada tahun hadapan, Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 pula dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 April 2027, serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027. Acara ini dijangka menghimpunkan pengeluar kopi, pemanggang kopi, pengusaha kafe serta profesional industri dari seluruh Asia, sekali gus menjadi medan pertukaran pengetahuan dan peluang kerjasama serantau. Bagi menjayakannya, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA) yang berpangkalan di Korea Selatan.
Antara yang menarik, majlis Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia turut akan diadakan pada malam 3 April 2027, memberikan pengiktirafan kepada kafe dan pengusaha yang mencapai kecemerlangan dalam industri berkenaan.
Lebih daripada sekadar acara kopi, penganjuran kedua-dua inisiatif ini turut membawa potensi besar kepada sektor pelancongan negara. Dengan pengalaman gastronomi kini menjadi antara tarikan utama pelawat, Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai kelebihan untuk menawarkan pengalaman yang lebih luas, sekali gus memberi kesan positif kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan serta pengangkutan.
Jelaslah, langkah ini mengangkat kopi bukan sekadar sebagai minuman harian, tetapi sebagai sebahagian daripada budaya, pengalaman pelancongan dan jaringan ekonomi yang mampu menghubungkan Malaysia dengan pasaran serantau.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!


ARCHIDEX 2026 Raikan Edisi Ke-25 Dengan Pameran Seni Bina Terbesar Di MITEC
Japan Expo Malaysia 2026 Satukan Budaya, Pelancongan Dan Hiburan Jepun Di KLCC
Selangor Travel Fair 2026: Promosi Pakej Percutian, Tiket Tarikan Dan Pelbagai Aktiviti Menarik
HOMES Home Living Exhibition Kembali Ke KLCC 9-12 Julai Ini: Rebut Diskaun Lebih 630 Jenama!
S-26 Gold Progress Perkenal Brain Visualiser Untuk Bantu Ibu Bapa Fahami Perkembangan Otak Anak
TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026: Aksi Pasukan Bertaraf Dunia dan Fiesta Rasa Meriahkan Kuala Lumpur Mei Ini