Isu kebocoran data peribadi kembali menjadi bualan hangat pengguna media sosial, kali ini membabitkan salah seorang personaliti paling popular di Malaysia, Khairul Aming (KA).
Usahawan dan pencipta kandungan terkenal itu tampil di Threads meminta penjelasan daripada syarikat telekomunikasi Maxis selepas maklumat bil telefonnya didakwa tersebar kepada umum. Isu ini bukan sekadar drama media sosial, sebaliknya membangkitkan persoalan serius mengenai keselamatan data peribadi pelanggan.

Isu ini mula mendapat perhatian apabila seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran terperinci akaun telefon Khairul Aming. Antara maklumat yang didedahkan termasuk tunggakan bil sebanyak RM498, jumlah penggunaan kredit serta pembelian digital bernilai lebih RM400.
Lebih membimbangkan, satu lagi tangkap layar yang dikongsi pengguna lain mendakwa akaun sama turut mendedahkan baki bantuan kerajaan, MySARA milik Khairul Aming yang masih belum digunakan.

Melalui kirimannya, Khairul Aming menegaskan bahawa maklumat bil telefonnya adalah urusan peribadi dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum. Beliau menjelaskan bahawa beliau sememangnya membuat bayaran bil lebih awal untuk beberapa bulan, namun tidak menyedari baki tersebut telah habis.
Apa yang lebih membimbangkannya bukan jumlah bil berkenaan, tetapi bagaimana maklumat itu boleh diakses oleh pihak lain. Susulan itu, Maxis mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat insiden berkenaan. Individu terbabit telah dikenal pasti dan tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang sedang diambil.
“Kami memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited terhadap privasi data dan perlindungan data peribadi,” menurut kenyataan Maxis.
Di Malaysia, data peribadi dalam urus niaga komersial dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Akta ini mewajibkan organisasi mendapatkan persetujuan pengguna, memaklumkan tujuan pengumpulan data serta memastikan data disimpan dengan selamat.
Menurut Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), organisasi yang gagal mematuhi prinsip perlindungan data boleh didenda sehingga RM1 juta dan dipenjarakan sehingga tiga tahun. Individu yang melanggar akta pula boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa data peribadi, walaupun sekadar maklumat bil telefon, merupakan maklumat sensitif yang perlu dilindungi.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

HUAWEI Pura 90s Series Tiba Di Malaysia, Bawa Kamera Flagship Dengan Harga Bermula RM3,699
Khairul Aming Hantar Surat Tuntutan Kepada Maxis Susulan Kebocoran Data, JPDP Turut Buka Siasatan
CelcomDigi Raikan 20 Juta Pelanggan Menerusi Mega Gegar 20 Juta – Hadiah RM20 Juta Menanti!
Harga Minyak 23–29 Julai 2026: RON97 Dan RON95 Naik 20 Sen, Diesel Naik 35 Sen Minggu Ini
Google Lancar YouTube Creators For Impact Untuk Tingkatkan Kesedaran Keselamatan Digital Di Malaysia
7 K-Drama Terbaik 2026 Yang Patut Masuk Dalam Senarai Tontonan Anda Tahun Ini