VOLTRUN 2026 Berlangsung Di Cyberjaya, Finisher 21KM Bakal Terima Voltra Recovery Halilintar Slide
Satu lagi acara baharu bakal menyertai kalendar larian tempatan menerusi penganjuran VOLTRUN 2026. Dibawakan oleh Voltra, acara sulung ini akan berlangsung pada 30 Ogos 2026 di Persiaran Flora, Cyberjaya dengan tiga kategori jarak iaitu 5KM, 10KM dan 21KM.
VOLTRUN bukan sekadar diperkenalkan sebagai acara larian biasa, sebaliknya cuba membawa gabungan komuniti, budaya dan gaya hidup larian dalam satu pengalaman yang lebih menyeluruh. Menurut Voltra, acara ini juga menjadi langkah mereka untuk menghimpunkan komuniti yang sebelum ini telah bergerak bersama jenama tersebut, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Pendaftaran Dibuka Mulai 27 April 2026
Pendaftaran VOLTRUN 2026 akan dibuka pada 27 April 2026, jam 10 pagi menerusi platform Ticket2U. Tarikh tutup pendaftaran pula ditetapkan pada 30 Jun 2026 atau lebih awal sekiranya slot maksimum 5,000 peserta telah dipenuhi.
Untuk edisi pertama ini, penyertaan VOLTRUN 2026 dihadkan kepada 5,000 peserta sahaja berdasarkan kapasiti penganjuran sulung mereka bagi memastikan acara dapat diuruskan dengan baik.
Dengan pilihan jarak 5KM, 10KM dan 21KM, VOLTRUN 2026 memberi ruang kepada pelbagai tahap peserta untuk turut serta, sama ada pelari baharu yang mahu merasai suasana acara larian komuniti, pelari kasual yang mahu menambah rekod larian, atau pelari lebih berpengalaman yang mencari cabaran jarak lebih panjang.
Yuran Penyertaan VOLTRUN 2026

Bagi yuran pendaftaran, harga yang ditawarkan adalah berbeza mengikut fasa pendaftaran iaitu Early Bird, Normal dan Late.
Early Bird: 27 April hingga 15 Mei 2026
- 21KM: RM119
- 10KM: RM89
- 5KM: RM69
Normal: 16 Mei hingga 31 Mei 2026
- 21KM: RM139
- 10KM: RM99
- 5KM: RM79
Late: 1 Jun hingga 30 Jun 2026
- 21KM: RM159
- 10KM: RM119
- 5KM: RM89
Butiran Acara VOLTRUN 2026
VOLTRUN 2026 akan berlangsung pada awal pagi dengan masa acara bermula dari 3.00 pagi hingga 11.00 pagi. Untuk kategori 21KM, flag off akan bermula pada jam 4.00 pagi, manakala kategori 10KM dan 5KM masing-masing akan dilepaskan pada jam 7.00 pagi dan 7.30 pagi.
Berikut adalah butiran utama acara:
Tarikh: 30 Ogos 2026, Ahad
Masa: 3.00 pagi hingga 11.00 pagi
Lokasi: Persiaran Flora, Cyberjaya
Jarak: 21KM, 10KM dan 5KM
Bagi cut off time pula, peserta kategori 21KM perlu menamatkan larian dalam tempoh 4 jam, 10KM dalam tempoh 2 jam, manakala 5KM dalam tempoh 1 jam 15 minit.
Apa Yang Peserta Akan Terima?

Selain pengalaman menyertai acara sulung VOLTRUN, peserta juga akan menerima beberapa kelengkapan acara. Antara yang akan diterima termasuk jersi, bib number, finisher medal, refreshment dan merchandise.
Untuk kategori tertentu seperti 21KM dan 10KM, pemenang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai. Malah, tiga pemenang terbaik bagi kedua-dua kategori tersebut akan turut menerima sepasang kasut VOLTRA.

Peserta kategori 21KM juga akan menerima sesuatu yang lebih eksklusif. Buat pertama kalinya, Voltra memperkenalkan Voltra Recovery Halilintar Slide, iaitu selipar recovery yang direka untuk memberi keselesaan selepas larian.
Bagi kategori 5KM Junior pula, hadiah utama yang ditawarkan adalah kasut VOLTRA untuk pemenang kategori lelaki dan wanita junior.
Pengambilan Race Pack
Pengambilan race pack akan berlangsung pada 28 dan 29 Ogos 2026, dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam. Lokasi pengambilan masih belum diumumkan dan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak penganjur.
Peserta juga perlu mengambil perhatian bahawa tiada pengagihan race pack akan dibuat pada hari acara. Bagi peserta yang mahu penghantaran race pack ke rumah atau pejabat, pilihan penghantaran turut disediakan pada kadar RM10 bagi setiap race pack untuk kawasan bandar utama di Semenanjung Malaysia.
Bagi yang berminat, pendaftaran VOLTRUN 2026 akan dibuka mulai 27 April 2026 jam 10 pagi di Ticket2U. Memandangkan jumlah slot adalah terhad, peserta disarankan membuat pendaftaran awal sekiranya mahu menyertai acara larian ini.
Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
