Menu

Jerebu Kembali Melanda Malaysia, Ini Tips Penting untuk Jaga Kesihatan Diri dan Keluarga

Alyaa 4 hours ago

Musim jerebu kembali melanda Malaysia, dan ia bukan sekadar mengganggu pemandangan. Udara yang tercemar dengan partikel halus boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya sistem pernafasan. Jadi, penting untuk kita tahu cara melindungi diri dan keluarga sepanjang tempoh ini.

Berikut adalah panduan lengkap tips dan langkah pencegahan kesihatan semasa jerebu, berpandukan nasihat rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan.

1. Kenali golongan berisiko tinggi

Jerebu memberi kesan kepada semua orang, tetapi ada golongan tertentu yang lebih terdedah kepada risiko kesihatan dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang lebih rapi, iaitu:

  • Kanak-kanak (sistem pernafasan masih berkembang)
  • Warga emas
  • Wanita mengandung
  • Pesakit jantung dan pernafasan (seperti asma)
  • Mereka yang sensitif kepada habuk dan perokok
  • Mereka yang kerap bekerja atau beraktiviti di luar bangunan

2. Pantau bacaan IPU setiap hari

Cara paling berkesan untuk merancang aktiviti harian adalah dengan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan anda. Anda boleh menyemaknya secara masa nyata menerusi portal rasmi APIMS Jabatan Alam Sekitar (JAS). Berikut adalah panduan tindakan mengikut tahap IPU:

Bacaan IPU Status Tindakan Disyorkan
0 – 50 Baik
  • Tiada sekatan aktiviti
  • Teruskan amalan gaya hidup sihat.
51 – 100 Sederhana
  • Tiada sekatan aktiviti
  • Teruskan amalan gaya hidup sihat seperti biasa.
101 – 200 Tidak sihat
  • Golongan berisiko disarankan mengehadkan aktiviti di luar dan memakai pelitup muka.
  • Orang ramai pula digalakkan mengurangkan aktiviti lasak.
201 – 300 Sangat tidak menyihatkan
  • Elakkan aktiviti lasak di luar dan pakai pelitup muka jika perlu keluar.
  • Golongan berisiko disarankan kekal di dalam rumah.
301 – 400 Berbahaya
  • Golongan berisiko perlu kekal di dalam rumah.
  • Orang ramai juga disarankan berada di dalam bangunan dan memakai pelitup muka jika perlu keluar.
401 – 500 Berbahaya
  • Ikuti langkah berjaga-jaga yang sama seperti tahap IPU 301–400 dan kurangkan aktiviti di luar.
500 ke atas Darurat
  • Kekal di dalam rumah, elakkan aktiviti luar dan patuhi arahan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa.

3. Pakai pelitup muka yang betul

Ini penting dan sering disalah anggap. Pelitup muka pembedahan biasa tidak mampu menapis zarah halus PM2.5 dalam jerebu. Untuk perlindungan berkesan, gunakan pelitup muka jenis N95, N99 atau KN95 yang mampu menapis sekurang-kurangnya 95% partikel halus berbahaya.

Pastikan juga pelitup muka melekap rapat pada muka mengikut saiz yang sesuai. Ia amat digalakkan buat penunggang motosikal dan mereka yang perlu berada di luar untuk tempoh lama.

4. Amalkan langkah harian ini

Selain itu, beberapa amalan mudah berikut boleh membantu mengurangkan kesan jerebu:

  • Kekal di dalam rumah sebaik mungkin dan kurangkan aktiviti lasak di luar seperti berjogging, mendaki dan berbasikal.
  • Minum banyak air (sekurang-kurangnya 2 liter atau 8 gelas sehari) untuk kekal terhidrat.
  • Tutup pintu dan tingkap rapat bagi menghalang asap jerebu masuk ke dalam rumah.
  • Bagi pengguna kenderaan berhawa dingin, hidupkan penghawa dingin pada mod kitaran dalam dan tutup semua tingkap.
  • Kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Elakkan menambah pencemaran dalaman, seperti asap rokok. Perokok juga amat digalakkan untuk berhenti merokok.
  • Jika mampu, pertimbangkan penggunaan penapis udara (air purifier) di dalam rumah.

5. Kenali simptom dan dapatkan rawatan

Sekiranya mengalami gejala seperti batuk berterusan, selsema, sesak nafas, sakit tekak, mata pedih atau berair, sakit kepala, atau masalah asma yang semakin teruk selepas terdedah kepada jerebu, jangan abaikan tanda-tanda tersebut. Pendedahan kepada udara tercemar boleh menyebabkan iritasi pada mata, hidung dan tekak, selain menjejaskan sistem pernafasan, terutama jika terdedah dalam tempoh yang lama.

Jika simptom berterusan, semakin teruk atau mula mengganggu aktiviti harian, segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

6. Elakkan pembakaran terbuka

Akhir sekali, kita semua boleh memainkan peranan dalam membantu mengurangkan pencemaran udara dan risiko jerebu tempatan. Elakkan melakukan sebarang pembakaran terbuka, termasuk membakar sampah atau sisa kebun. Jika terlihat aktiviti pembakaran terbuka atau kebakaran, laporkan segera kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui talian 999 atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Memandangkan keadaan jerebu sedang melanda ketika ini, orang ramai disarankan supaya lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar. Utamakan keselamatan diri dan keluarga, pantau bacaan IPU dari semasa ke semasa, serta ikuti perkembangan dan nasihat terkini daripada pihak berkuasa.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –