Pengguna DuitNow dinasihatkan merancang urusan kewangan lebih awal susulan pemakluman mengenai gangguan perkhidmatan oleh beberapa institusi perbankan yang dijadualkan pada 18 Ogos ini. Sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan berkenaan dijangka tidak dapat diakses selama empat jam, bermula dari 2 pagi hingga 6 pagi.
Gangguan tersebut difahamkan berlaku sebagai sebahagian daripada proses penyelenggaraan sistem secara berkala yang bertujuan memperkukuh tahap keselamatan platform pembayaran dan pemindahan wang tersebut. Sepanjang tempoh penyelenggaraan, hampir keseluruhan fungsi utama DuitNow dijangka tidak dapat digunakan, sama ada menerusi aplikasi perbankan mahupun portal web. Antara perkhidmatan yang terjejas termasuk:
- Transaksi asas DuitNow
- DuitNow QR
- DuitNow Online Banking/Wallets (DOBW)
- DuitNow AutoDebit
- DuitNow Request
- DuitNow Rentas Sempadan
Ini bermakna sebarang imbasan kod QR atau pemindahan segera tidak dapat dilaksanakan pada waktu terbabit, termasuk transaksi rentas sempadan yang kini boleh dilakukan dengan negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia. Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, pengguna disarankan menyelesaikan transaksi penting sebelum tempoh penyelenggaraan bermula.
DuitNow yang diperkenalkan pada 2018 kini menjadi antara tunjang utama sistem pembayaran digital negara. Jumlah transaksi DuitNow QR dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda kepada tiga bilion transaksi pada 2025. Malah, rakyat Malaysia kini dianggarkan melakukan lebih daripada satu transaksi digital sehari secara purata, menggambarkan perkhidmatan pembayaran digital semakin sebati dengan kehidupan seharian.
Sumber: Bank Islam, Maybank, Public Bank
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

TNG eWallet Tambah FlexiCredit GXBank ke CashLoan dengan Had Kredit Sehingga RM150,000
TikTok Shop Kenakan SST 6% untuk Caj Penghantaran Penjual Bermula September
Fi Life Henti Jualan Polisi Insurans Baharu Mulai 26 Ogos 2026, Pemegang Polisi Sedia Ada Tidak Terjejas
Ryt Bank Kini Benarkan Pengaktifan Akaun Menerusi ATM dan Cawangan Bank
Samsung Wallet Kini Sokong MBSB Bank – Belanja RM30, Berpeluang Menang Galaxy Tab
Wise Kini Sokong Pembayaran DuitNow QR Menerusi Aplikasi di Malaysia