Menu

Ryt Bank Kini Benarkan Pengaktifan Akaun Menerusi ATM dan Cawangan Bank

Alyaa 7 days ago

Buat anda yang berminat untuk membuka akaun Ryt Bank tetapi tidak mahu menggunakan perbankan dalam talian, kini terdapat pilihan lain untuk mengaktifkan akaun. Bank digital berkuasa AI itu kini membenarkan pengguna mengaktifkan serta menambah dana ke akaun mereka menerusi ATM atau mana-mana cawangan bank di Malaysia.

Sebelum ini, penambahan dana ke akaun baharu biasanya memerlukan pemindahan wang menerusi perbankan dalam talian. Dengan kaedah baharu ini, pengguna kini mempunyai alternatif untuk melengkapkan proses pengaktifan akaun tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada perbankan dalam talian. Yang menariknya, anda hanya perlu memindahkan serendah RM1 sahaja untuk mengaktifkan akaun.

Berikut adalah langkah-langkah untuk mengaktifkan akaun Ryt Bank anda menerusi ATM atau cawangan bank:

  1. Buka aplikasi Ryt Bank dan pergi ke papan pemuka (dashboard) akaun anda.
  2. Ketik pada pilihan “Tambah wang”.
  3. Pilih “Guna kaedah lain”.
  4. Pilih sama ada “Hantaran ATM” atau “Kunjungi cawangan bank anda”.

Untuk pengaktifan menerusi ATM, anda boleh pergi ke mana-mana ATM bank berdekatan, masukkan kad debit dan pilih menu pindahan wang. Pastikan nama pemilik akaun sepadan dengan nama pada kad pengenalan sebelum meneruskan transaksi. Selepas itu, pilih “Interbank GIRO”, tetapkan jenis akaun sebagai “Akaun Simpanan”, kemudian pilih Ryt Bank daripada senarai bank yang tersedia. Masukkan nombor akaun Ryt Bank anda dan buat pindahan untuk melengkapkan proses tersebut.

Jika anda lebih selesa berurusan di cawangan bank, bawa MyKad dan maklumkan kepada pegawai bank bahawa anda ingin membuat pindahan Interbank GIRO (IBG) ke akaun Ryt Bank. Anda kemudian perlu mengisi maklumat yang diperlukan, termasuk nombor akaun serta alamat Ryt Bank.

Bagi kedua-dua kaedah ini, jumlah pindahan mungkin berbeza bergantung pada denominasi yang disokong oleh ATM atau cawangan bank yang digunakan. Oleh itu, anda disarankan untuk mengikuti arahan yang diberikan oleh saluran berkenaan ketika membuat pindahan. Setelah dana berjaya diterima, akaun Ryt Bank akan diaktifkan dalam tempoh satu hari bekerja.

Anda boleh melayari laman web rasmi Ryt Bank untuk panduan penuh dan soalan lazim (FAQ).


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –