Menu

LaLaport BBCC Lancar Hab Pengangkutan Bersepadu Lengkap Dengan Bas, Rel Dan Shuttle

Alyaa 2 months ago

Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) melancarkan LaLaport Transportation Hub (LTH) secara rasmi sebagai hab pengangkutan bersepadu yang diiktiraf dan dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat Hannah Yeoh. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pembangunan APAD, Azrin Borhan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Yang Berbahagia Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud; dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, H.E. Noriyuki Shikata.

LTH berfungsi sebagai hab bagi perkhidmatan bas ekspres di tengah bandar Kuala Lumpur, khususnya untuk laluan rentas sempadan Kuala Lumpur–Singapura. Hab ini telah beroperasi secara berfasa sejak Februari tahun ini dan turut menerima kunjungan Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke, pada Januari 2026 bagi meninjau kemajuan projek sebelum operasi bermula.

Terletak di Tingkat LG1, East Atrium, LTH merupakan fasiliti berbumbung sepenuhnya yang dilengkapi dengan 11 ruang bas, ruang menunggu berhawa dingin, kaunter fizikal dan mesin layan diri, serta Passenger Information Display System (PIDS) yang memaparkan jadual bas secara masa nyata. Memandangkan hab ini berada di dalam pusat beli-belah, anda turut mendapat akses terus kepada kemudahan lain seperti mesin ATM, kaunter penukaran wang, lokar bagasi, Wi-Fi percuma, tandas, pemantauan keselamatan 24 jam, serta kemudahan mesra warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kelebihan utama LTH ialah lokasinya yang bersambung terus dengan rangkaian pengangkutan awam utama. Anda boleh berjalan kaki terus ke stesen LRT dan Monorel Hang Tuah, dengan akses MRT turut berdekatan, sekali gus memudahkan pertukaran antara rangkaian rel dan bas tanpa perlu keluar dari kawasan berbumbung.

Selain perkhidmatan bas ekspres, LaLaport BBCC turut menyediakan perkhidmatan shuttle atas permintaan Boleh-Boleh Ride ke destinasi utama sekitar Kuala Lumpur, zon e-hailing khusus di Pintu Masuk Pudu dan Pintu Masuk Hang Tuah, serta van ulang-alik khas ke KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 sebagai alternatif pemindahan ke lapangan terbang. Kira-kira 30 pengendali bas dijangka menggunakan LTH sebagai titik transit utama di tengah bandar, khususnya bagi laluan Kuala Lumpur–Singapura.

Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd, Masayoshi Saito, berkata LTH merupakan fasiliti mobiliti strategik yang bukan sahaja memudahkan perjalanan pelancong tempatan dan luar negara, malah menyokong agenda mobiliti mampan Kerajaan serta pertumbuhan pelancongan. 

Hab ini dikendalikan oleh Asia Success Resources Sdn. Bhd. (ASR), pengendali hab pengangkutan berpengalaman yang mempunyai rekod cemerlang di KLIA Terminal 2, manakala reka bentuk dan perancangan fungsinya dibangunkan bersama Semba Corporation.

Dengan menggabungkan pelbagai mod pengangkutan di satu lokasi, LTH menyokong ekosistem pengangkutan bandar yang lebih mampan, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, menurunkan pelepasan karbon dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –