Buku merupakan antara keperluan penting dalam pembelajaran, bukan sahaja sebagai bahan rujukan di sekolah, tetapi juga sebagai cara untuk menambah ilmu dan membina tabiat membaca. Menerusi inisiatif Baucar Buku MADANI 2026, Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan e-baucar buku bernilai RM100 kepada lebih dua juta pelajar yang layak. Berikut segala yang perlu anda tahu tentang program ini, daripada kelayakan, cara pengaktifan sehingga panduan pembelian buku.
Apa Itu Baucar Buku MADANI 2026?
Baucar Buku MADANI 2026 ialah e-baucar buku bernilai RM100 yang diberikan kepada pelajar di bawah KPM untuk pembelian bahan bacaan menerusi platform Book Capital. Baucar ini melibatkan murid daripada kelas peralihan hingga Tingkatan Enam, termasuk pelajar kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Seramai 2,217,579 pelajar dijangka menerima manfaat ini, dengan tarikh pelaksanaan bermula 1 Julai 2026, tertakluk kepada pengumuman rasmi KPM.
Penerima akan dikenal pasti secara automatik berdasarkan data rasmi KPM tanpa perlu membuat sebarang permohonan. Pelajar yang telah berpindah sekolah juga masih layak menerima baucar ini, tertakluk kepada rekod semasa yang disahkan dalam sistem KPM.
Cara Mengaktifkan Baucar
Sebelum menggunakan baucar, pelajar perlu mengaktifkannya terlebih dahulu melalui akaun DELIMa yang sah. Berikut langkah-langkahnya:
- Klik “Tebus Baucar” dan log masuk menggunakan ID serta kata laluan DELIMa.
- Akaun akan diaktifkan secara automatik melalui Single Sign-On (SSO).
- Kredit baucar bernilai RM100 akan dipaparkan pada papan pemuka akaun.
Perlu diingat, pengesahan penerima hanya boleh dilakukan menggunakan akaun DELIMa, bukan e-mel lain. Jika kredit RM100 tidak muncul, semak semula akaun DELIMa, status kelayakan dan tempoh pelaksanaan program terlebih dahulu.
Cara Membeli Buku Menggunakan Baucar

Gambar: Kota Buku/Facebook
Semua pembelian mesti dibuat menerusi Portal DELIMa Book Capital dan baucar ini tidak boleh digunakan di kedai buku fizikal.
Satu syarat penting, pelajar wajib membeli sekurang-kurangnya satu (1) buku daripada kategori “Judul Khas Baucar Buku MADANI 2026” sebelum baki baucar boleh digunakan untuk buku lain. Kategori Judul Khas ini merangkumi:
- Karya Sasterawan Negara
- Karya Agung Dunia
- Karya Pemenang Anugerah Sastera
- Sejarah
- Falsafah
- Ekonomi
- Geopolitik
- Kecerdasan Buatan (AI)
- Teknologi
- Teknologi Maklumat (IT)
- Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)
Kategori ini diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian bagi menyokong hasrat YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa pengumuman baucar ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 29 Mei 2026, yang menekankan kepentingan pembacaan bahan berilmu dan berkualiti.
Selepas membeli sekurang-kurangnya satu Judul Khas, pelajar bebas memilih daripada lebih 950,000 judul buku lain yang tersedia di platform Book Capital, merangkumi pelbagai kategori dan genre termasuk daripada pelbagai penjual, asalkan tersedia di platform tersebut.
Perkara Penting Sebelum Membeli
Bagi memastikan baucar dapat digunakan dengan lancar, terdapat beberapa syarat dan perkara penting yang perlu diberi perhatian:
- Baucar hanya boleh digunakan sekali sahaja dengan semua buku perlu dimasukkan dalam satu transaksi
- Baki baucar yang tidak digunakan akan luput dan tidak boleh disimpan untuk pembelian lain
- Pelajar boleh menambah bayaran sendiri jika jumlah pembelian melebihi RM100
- Baucar tidak boleh ditukar kepada wang tunai
- Baucar tidak boleh dipindah milik kepada orang lain
Dengan perancangan yang teliti, pelajar boleh memanfaatkan sepenuhnya baucar ini untuk membina koleksi bacaan yang bukan sahaja menambah ilmu, malah turut menyokong matlamat besar negara dalam memperkasa budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.
Sumber: Book Capital
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Program NUR@PETRA 2026: Ini Cara Dapat e-Rebat RM200 Untuk Penyaman Udara Dan Peti Sejuk
Sebelum Guna BNPL, Ketahui Kesan Lewat Bayar Terhadap Rekod Kredit Anda
Budi Diesel 2026: Panduan Ringkas Untuk Pemilik Kenderaan Diesel di Malaysia
Caj RM1 Pengeluaran Wang di Mesin ATM Dimansuhkan Mulai 1 Julai 2026
Yalla Commerce 2026 Berlangsung di Malaysia Ogos Ini, Himpunkan Pemain E-Dagang Global dan Tempatan
Skim Lindung 24 Jam PERKESO Diperluas Mulai 1 Jun 2026, Pekerja Turut Dilindungi di Luar Waktu Kerja