Menu

Sebelum Guna BNPL, Ketahui Kesan Lewat Bayar Terhadap Rekod Kredit Anda

Zul Akmal 8 hours ago

Ramai yang menggunakan SPayLater, TikTok PayLater dan Atome untuk membeli-belah tanpa terlalu memikirkan kesannya. Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat beberapa perubahan penting yang mungkin anda terlepas pandang dan boleh memberi kesan kepada rekod kredit serta kewangan peribadi anda.

Sejak Consumer Credit Act 2025 (CCA) berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, platform Buy Now Pay Later (BNPL) seperti SPayLater, TikTok PayLater dan Atome kini tertakluk kepada rangka pengawalseliaan yang lebih ketat. Ini bermakna terdapat beberapa perkara yang pengguna perlu ambil perhatian, terutamanya berkaitan rekod kredit, pembayaran ansuran dan penggunaan kemudahan BNPL secara keseluruhan.

Aktiviti BNPL Kini Boleh Mempengaruhi Rekod Kredit Anda

Di bawah kerangka baharu tersebut, penyedia BNPL kini tertakluk kepada keperluan pelaporan kredit yang lebih ketat. Maklumat berkaitan pembayaran dan penggunaan kemudahan BNPL boleh dilaporkan kepada agensi pelaporan kredit seperti CTOS.

Apa maksudnya untuk anda? Jika anda kerap membuat pembayaran lewat atau mempunyai tunggakan, ia berpotensi menjejaskan profil kredit anda. Perkara ini boleh mempengaruhi penilaian institusi kewangan apabila anda memohon pinjaman kereta, pinjaman perumahan atau kad kredit pada masa hadapan.

Jika sebelum ini anda menganggap penggunaan BNPL tidak memberi kesan kepada rekod kewangan, keadaan tersebut mungkin tidak lagi sama.

Caj Lewat Bayar Yang Perlu Diberi Perhatian

Walaupun BNPL sering dipromosikan sebagai kaedah pembayaran yang mudah, pengguna masih perlu memahami caj yang mungkin dikenakan sekiranya pembayaran dibuat lewat.

1. SPayLater

Bagi SPayLater, caj lewat bayar adalah RM10 dan dikenakan sekali sahaja bagi setiap pembayaran yang tertunggak. Akaun Shopee pengguna juga boleh disekat daripada menggunakan kemudahan SPayLater sehingga bayaran diselesaikan.

Untuk pembelian di platform Shopee, pelan ansuran 3 bulan tidak dikenakan yuran pemprosesan. Namun, pelan ansuran yang lebih panjang seperti 6, 12 hingga 24 bulan dikenakan yuran pemprosesan sebanyak 1.5% sebulan. 

2. TikTok PayLater

TikTok PayLater turut mengenakan caj sekiranya pengguna gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. Akaun PayLater pengguna boleh dibekukan sementara sehingga jumlah tertunggak diselesaikan.

Untuk mengaktifkan semula akaun, pengguna perlu membayar jumlah ansuran tertunggak bersama caj penyahbekuan sebanyak RM10. TikTok PayLater juga menawarkan pelan ansuran sehingga 12 bulan, dengan caj perkhidmatan 1.5% ke atas jumlah pembayaran keseluruhan bagi semua tempoh ansuran.

3. Atome

Atome turut mengenakan caj lewat bayar sekiranya pembayaran tidak dibuat mengikut jadual yang ditetapkan. Bagi setiap bayaran yang tertunggak, caj lewat bayar sehingga RM23 akan dikenakan, dengan kemungkinan penalti tambahan sebanyak RM7 bergantung kepada sumber pembiayaan yang ditetapkan oleh sistem. Akaun pengguna juga akan disekat daripada menggunakan perkhidmatan Atome sehingga baki tertunggak dijelaskan sepenuhnya.

Walaupun pelan tiga ansuran ditawarkan tanpa faedah, pelan ansuran yang lebih panjang seperti enam atau dua belas bulan dikenakan kadar ansuran sebanyak 1.5% sebulan ke atas jumlah pesanan. 

Caj lewat bayar juga dikenakan bagi setiap ansuran yang terlepas, bermaksud sekiranya beberapa ansuran berturut-turut tidak dibayar, caj akan dikenakan bagi setiap satu ansuran tersebut secara berasingan.

Had Kredit Boleh Disemak Semula

Satu lagi perkara yang ramai tidak sedar ialah had kredit BNPL tidak semestinya kekal.

Penyedia BNPL boleh menyemak semula atau menyesuaikan had kredit pengguna berdasarkan corak penggunaan, rekod pembayaran dan penilaian risiko semasa. Jika terdapat pembayaran lewat atau tunggakan, had kredit yang diberikan mungkin dikurangkan.

Oleh itu, anda disarankan untuk menyemak had kredit semasa dalam aplikasi dari semasa ke semasa serta memastikan tiada bayaran tertunggak.

Tips Ringkas Untuk Elak Masalah

Untuk mengelakkan masalah tunggakan atau caj tambahan, anda boleh amalkan beberapa langkah mudah sebelum menggunakan BNPL.

  • Aktifkan notifikasi bayaran dalam aplikasi SPayLater atau Atome
  • Tetapkan peringatan dalam kalendar sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh bayaran
  • Elakkan membuka terlalu banyak pelan ansuran pada masa yang sama
  • Semak jumlah caj keseluruhan sebelum memilih pelan ansuran yang lebih panjang
  • Pastikan anda mempunyai bajet untuk membayar setiap ansuran tepat pada masanya

BNPL boleh menjadi alat kewangan yang berguna jika digunakan dengan betul. Namun, ia tetap merupakan komitmen pembayaran yang perlu diurus dengan baik. Bayar tepat pada masanya dan pastikan anda memahami semua caj yang terlibat sebelum membuat pembelian.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –