February 13, 2026

KWSP Perkenal Pelbagai Inisiatif Baharu untuk Ahli Mulai Januari 2026 – Ini Ringkasannya

kwsp-epf

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar dan pengenalan produk baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, selaras dengan inisiatif dalam Belanjawan 2026. Langkah ini bertujuan memperkukuh kecukupan simpanan persaraan, memperluas perlindungan sosial serta meningkatkan pengalaman ahli dalam mengurus simpanan jangka panjang mereka.

Berikut ringkasan perubahan utama yang penting untuk ahli KWSP:

Had Pengeluaran Haji Dinaikkan Kepada RM10,000

Antara penambahbaikan utama ialah kenaikan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 daripada Akaun Sejahtera. Inisiatif ini bertujuan membantu ahli yang telah menerima tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji bagi menampung kos ibadah tersebut.

Lebih menarik, keperluan untuk mengesahkan baki simpanan Tabung Haji bagi menentukan kelayakan pengeluaran kini dimansuhkan, sekali gus memudahkan proses permohonan dan membolehkan perancangan haji dibuat dengan lebih fleksibel.

i-Saraan Plus Diperkenal, i-Suri Dilanjutkan Hingga Umur 60 Tahun

KWSP turut memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu skim caruman sukarela khas untuk pemandu e-hailing dan p-hailing. Melalui skim ini, peserta layak menerima insentif padanan kerajaan sehingga RM600 setahun, dengan had seumur hidup RM6,000 — lebih tinggi berbanding i-Saraan sedia ada.

Pemandu yang layak akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui platform terlibat, dengan potongan caruman mengikut kadar yang ditentukan sendiri.

Dalam masa yang sama, umur kelayakan i-Suri dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara. Insentif padanan kerajaan bagi i-Suri diteruskan pada kadar 50% caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.

Penyelarasan Pengeluaran Lebihan RM1 Juta dan Skim Pelaburan Ahli

Mulai 2026, Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy, RIA) akan menjadi panduan utama simpanan persaraan dengan tiga tahap sasaran:

  • Simpanan Asas: RM390,000
  • Simpanan Mencukupi: RM650,000
  • Simpanan Dipertingkatkan: RM1.3 juta

Selaras dengan ini, dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta ditambah baik bagi ahli di bawah umur 55 tahun. Had pengeluaran lebihan akan dinaikkan secara berperingkat selama tiga tahun, bermula RM1.1 juta pada 2026, bagi memberi ruang perancangan kewangan yang lebih tersusun.

Kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) juga akan diselaraskan dengan tahap Simpanan Asas bagi memastikan simpanan persaraan tidak terjejas akibat pelaburan.

i-Simpan dan i-Topup: Penjenamaan Baharu Simpanan Sukarela

Bagi menggalakkan simpanan sukarela, KWSP turut memperkenalkan nama baharu:

  • i-Simpan – Caruman Pilihan Sendiri
  • i-Topup – Caruman Melebihi Kadar Berkanun

Kemudahan ini melengkapi skim sedia ada seperti i-Saraan, i-Sayang dan i-Suri, sekaligus memberi lebih pilihan kepada ahli untuk mempercepat pertumbuhan simpanan persaraan mereka.

Untuk maklumat lanjut dan soalan lazim berkaitan inisiatif ini, layari laman web rasmi KWSP atau ikuti saluran media sosial rasmi KWSP di Facebook (Kumpulan Wang Amanah Simpanan Pekerja) dan Instagram (@kwspmalaysia)


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp