February 12, 2026

Kulit Sensitif? Ini 6 Bahan Dalam Skincare Yang Patut Anda Elakkan

produk-skincare

Dalam membuat pilihan produk penjagaan kulit, memilih jenama popular atau bau yang wangi tak menjamin ianya baik untuk kulit anda. Kadang-kadang, ada bahan tertentu dalam skincare yang diam-diam boleh jadi punca kulit kering, jerawat atau kerengsaan.

Kalau anda betul-betul nak jaga kulit, dan kulit anda mudah beri reaksi atau pernah breakout sebelum ini, ini 6 bahan yang perlu anda perhatikan sebelum membeli sebarang produk.

1. Alkohol

Walaupun alkohol membantu produk meresap cepat ke dalam kulit, namun ada alkohol yang boleh menyebabkan kekeringan, iritasi dan merosakkan lapisan perlindungan kulit seperti alkohol denat atau etanol. Produk dengan kepekatan alkohol yang tinggi sebaiknya dielakkan, namun kehadiran dalam jumlah yang kecil masih boleh diterima, bergantung pada formula produk tersebut.

2. Pewangi Sintetik 

Bahan pewangi ditambah ke dalam produk untuk memberikan aroma menyenangkan, tetapi ia sebenarnya boleh menyebabkan iritasi bagi sesetengah individu. Walaupun baunya amat menyenangkan, namun pewangi boleh menjadi pencetus alahan, kemerahan atau ketidakselesaan pada kulit.

3. Skrub Fizikal Kasar 

Skrub fizikal yang terlalu kasar boleh menyebabkan luka mikro pada permukaan kulit. Bahan seperti serbuk kacang walnut boleh merosakkan lapisan kulit dan menyumbang kepada iritasi. Pilihan lebih selamat ialah bahan exfoliate kimia seperti AHA atau BHA, yang lebih lembut dan berkesan.

4. Minyak Kelapa

Walaupun minyak kelapa sering dianggap sebagai bahan semula jadi yang bagus, namun perlu diingat bahawa ianya bersifat komedogenik tinggi, iaitu mudah menyumbat liang pori dan menyebabkan jerawat. Bahan ini lebih sesuai digunakan pada tubuh berbanding pada kulit wajah.

5. Jus Lemon & Bahan DIY Berasid

Penggunaan bahan seperti jus lemon secara terus ke kulit boleh menyebabkan luka, kemerahan atau reaksi kimia berbahaya. Keasidan yang terlalu tinggi tidak sesuai untuk kulit muka dan boleh menyebabkan sensitiviti jangka panjang.

6. Minyak Pati Berkepekatan Tinggi

Minyak seperti lavender, peppermint, citrus dan eucalyptus boleh menyebabkan kerengsaan atau dermatitis, terutamanya jika digunakan tanpa pencairan yang betul. Walaupun berasal dari sumber semula jadi, ia tetap boleh mendatangkan mudarat jika tidak digunakan dengan berhati-hati.

Sayangi Kulit Anda, Pilih Produk Dengan Bijak

Jangan sekadar mengikuti trend, pastikan anda semak betul-betul kandungan produk sebelum guna dan elakkan bahan yang boleh memudaratkan kulit anda. Kalau masih ragu atau tak pasti mana satu sesuai untuk anda, sebaiknya dapatkan nasihat daripada pakar dermatologi sebelum mencuba apa-apa produk baharu.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp