Menu

BNPL atau Kad Kredit? Ketahui Pilihan Yang Lebih Selamat Untuk Kewangan Anda

Sarah K 7 months ago

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia semakin kerap menggunakan kad kredit dan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) untuk membeli barang sama ada di kedai fizikal atau platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok.

Walaupun kedua-duanya memudahkan urusan kewangan, perbezaan kecil dalam cara ia berfungsi boleh memberi kesan besar kepada bajet anda.

Jadi, memahami kelebihan, kekurangan dan risiko setiap pilihan membantu anda membuat keputusan dengan lebih bijak dan selamat.

Apa Sebenarnya BNPL dan Kad Kredit?

BNPL biasanya menawarkan ansuran pendek seperti 3 atau 4 bulan tanpa faedah. Namun, untuk tempoh lebih panjang seperti 6, 12 atau 24 bulan, beberapa penyedia BNPL mengenakan caj ansuran tambahan

Kad kredit pula memberi anda fleksibiliti untuk bayar kemudian. Namun, baki yang tidak dibayar penuh pada hujung bulan akan dikenakan kadar faedah yang tinggi. 

Kelebihan dan Kekurangan BNPL

Kelebihan BNPL

1. Mudah Diluluskan

Pengguna tidak perlukan gaji yang tinggi atau sejarah yang baik. Ini menjadikan BNPL mudah digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk pelajar, belia dan mereka yang belum layak memohon kad kredit.

2. Ansuran Tetap & Jelas

BNPL menawarkan beberapa bayaran tetap dalam tempoh pendek, biasanya tanpa faedah. Jumlah bayaran sentiasa jelas, sesuai untuk mereka yang mahu kawal bajet.

3. Tiada Faedah Jika Bayar Tepat Masa

Selagi anda ikut jadual, anda tidak dikenakan kos tambahan. Ini menjadikan BNPL pilihan menarik untuk pembelian seperti gajet, barangan rumah dan lain-lain.

Kekurangan BNPL

1. Caj Lewat Sangat Membebankan

Jika terlepas tarikh akhir bayaran, caj lewat boleh jadi lebih tinggi. Ia mungkin kelihatan kecil, tetapi jumlahnya akan terus bertambah jika dibiarkan terkumpul tanpa membuat bayaran.

2. Risiko Skor Kredit Disebabkan BNPL

Kegagalan membayar ansuran BNPL boleh memberi kesan kepada skor kredit anda. Tunggakan yang berlarutan berpotensi dirujuk kepada agensi kutipan hutang, sekali gus menjejaskan keupayaan permohonan pinjaman pada masa hadapan.

3. Tiada Ganjaran Tambahan

Berbeza dengan kad kredit, BNPL jarang menawarkan manfaat seperti cashback, mata ganjaran, diskaun atau perlindungan pembelian. Ini menjadikan nilainya lebih terhad untuk pengguna yang mencari faedah tambahan.

Kelebihan dan Kekurangan Kad Kredit

Kelebihan Kad Kredit

1. Pelbagai Ganjaran Menarik

Kad kredit menawarkan pelbagai ganjaran seperti cashback, mata ganjaran, diskaun makan dan minum, serta perlindungan pembelian dan insurans perjalanan. Ini menjadikan kad kredit sangat bernilai jika digunakan secara terkawal.

2. Bantu Bina Skor Kredit

Penggunaan kad kredit secara bertanggungjawab membantu membina skor kredit yang kukuh. Rekod kredit yang baik sangat penting untuk memudahkan kelulusan pinjaman besar seperti kereta, rumah atau pembiayaan peribadi.

3. Kemudahan Kecemasan

Kad kredit boleh menjadi penyelamat dalam situasi kecemasan sebelum gaji masuk. Ia menyediakan fleksibiliti jangka pendek untuk menampung perbelanjaan mendesak tanpa menjejaskan aliran tunai anda.

Kekurangan Kad Kredit

1. Faedah Tinggi Jika Tidak Bayar Penuh

Kadar faedah kad kredit di Malaysia adalah antara yang tertinggi. Jika anda hanya membuat bayaran minimum setiap bulan, baki hutang akan cepat berkumpul dan menjadi semakin sukar untuk dilangsaikan.

2. Risiko Belanja Melebihi Kemampuan

Kemudahan “swipe sekarang, bayar kemudian” boleh membuatkan pengguna kurang sedar tentang had kewangan sebenar, sekali gus meningkatkan risiko berbelanja secara impulsif atau berlebihan.

3. Syarat Permohonan Lebih Ketat

Tidak semua permohonan kad kredit diluluskan kerana bank menilai faktor seperti pendapatan, komitmen bulanan dan rekod kredit sebelum memberikan kelulusan. Ini boleh menyukarkan individu yang belum mempunyai sejarah kredit atau pendapatan stabil.

Mana Yang Lebih Sesuai Untuk Anda?

  • Jika anda mahu mengawal bajet bagi pembelian tertentu, inginkan jumlah ansuran yang jelas dan disiplin membayar tepat pada masanya — BNPL mungkin pilihan yang lebih sesuai.
  • Jika anda mahukan ganjaran seperti cashback, mata terkumpul, perlindungan tambahan, serta mampu membayar keseluruhan baki setiap bulan — kad kredit menawarkan nilai yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

Yang penting, kenali tabiat perbelanjaan anda sendiri. Pilihlah kaedah pembayaran yang tidak membebankan komitmen kewangan dan boleh membantu anda kekal stabil dari segi kewangan.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –