Kos Servis Kereta Semakin Mahal? Jom Ikuti 5 Tips Lebih Jimat!
Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pemilik kereta mencari cara untuk menjimatkan kos servis kereta mereka. Meskipun kos servis semakin meningkat, ada beberapa langkah bijak yang anda boleh ikut untuk mengurangkan perbelanjaan tanpa mengabaikan kualiti penjagaan kereta. Berikut adalah 5 tips jimat untuk memastikan kereta anda dalam keadaan baik:
1. Servis “On Time”

Ikut Jadual Servis: Pastikan anda servis kereta anda mengikut jadual yang ditetapkan oleh pengeluar. Menangguhkan servis boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk dan kos pembaikan yang lebih mahal. Secara konvensional disarankan menukar minyak setiap 5,000 km untuk minyak mineral atau semi sintetik, dan setiap 10,000 km untuk minyak sintetik penuh. Namun, dengan teknologi terkini, semua jenis minyak enjin (mineral, semi sintetik, dan sintetik penuh) kini boleh digunakan sehingga 10,000 km. Dapatkan saranan daripada mekanik anda mengenai masa terbaik untuk menukar minyak enjin.
- Servis Minor setiap 10,000 km merujuk kepada penyelenggaraan asas, di mana pemilik hanya perlu menukar minyak enjin, penapis minyak, dan gasket. Gasket ini penting untuk memastikan saluran keluar minyak enjin kekal ketat dan melindungi alur skru daripada kerosakan.
- Servis Major pada 40,000 km, 80,000 km, atau 100,000km. Pusat servis lazimnya mengesyorkan untuk menggantikan semua cecair hidraulik kenderaan, termasuk minyak transmisi, minyak brek, dan cecair radiator. Beberapa pengeluar juga mengesyorkan minyak gear ditukar pada 100,000 km. Kereta yang menggunakan tali sawat perlu menukar set tali sawat pemasaan, oil stopper, dan tali sawat auxiliary (untuk penyaman udara, alternator, dan pam air). Kenderaan dengan rantai pemasaan (timing chain) juga perlu diperiksa dan mungkin menukar tali sawat auxiliary ini mengikut keadaan.
Jangan Tunggu Masalah Jadi Lebih Serius: Masalah kecil yang diabaikan boleh menjadi lebih besar dan memerlukan kos yang tinggi. Jadi, sentiasa peka dengan tanda-tanda awal kerosakan pada kereta.
2. Jangan Beli Tayar Baru di Pusat Servis

Elak Beli Tayar di Pusat Servis Rasmi: Pusat servis selalunya menjual tayar pada harga lebih mahal. Sebaliknya, cari kedai tayar atau bengkel yang khusus menjual tayar.
Bandingkan Harga di Luar: Kedai atau bengkel sering menawarkan harga yang berbeza, jadi luangkan masa untuk membandingkan pilihan anda berdasarkan kualiti dan harga yang sesuai dengan keperluan anda.
3. Beli Alat Ganti Secara Online
Beli alat ganti seperti penapis minyak, penapis udara, atau minyak pelincir secara online di platform seperti Shopee atau Lazada. Harga yang ditawarkan biasanya lebih murah berbanding bengkel atau servis centre. Namun, penting untuk menyemak keaslian produk yang anda beli. Jangan malas untuk membaca review daripada pelanggan lain bagi memastikan anda membuat pilihan yang tepat.
4. Pilih Pusat Servis Luar Bandar

Elak Pusat Servis di Bandar Besar: Pusat servis di bandar besar selalunya mengenakan bayaran yang lebih tinggi kerana kos sewa dan operasi yang tinggi. Sebaliknya, pilih pusat servis di luar bandar yang mungkin menawarkan harga yang lebih murah.
Kualiti Servis Sama, Kos Rendah: Bengkel di luar bandar selalunya menawarkan perkhidmatan yang baik pada harga yang lebih berpatutan. Anda boleh mendapat penjimatan yang ketara dengan memilih bengkel di kawasan yang lebih jauh dari pusat bandar.
5. Dapatkan Baucar/Promosi Servis Kereta di Sosial Media
Cari Tawaran di Media Sosial: Banyak pusat servis dan bengkel kerap menawarkan baucar diskaun dan promosi di platform seperti Facebook dan Instagram. Pantau tawaran ini untuk mendapatkan potongan harga yang boleh mengurangkan kos servis kereta.
Sertai Group Facebook atau Telegram: Banyak group pengguna kereta di Facebook atau Telegram yang berkongsi baucar dan promosi. Sertai group ini untuk tidak terlepas tawaran menarik yang boleh menjimatkan kos servis kereta anda.
Kesimpulan
Dengan mengikuti 5 cara mudah ini, anda boleh menjimatkan kos servis kereta yang semakin mahal. Servis mengikut masa yang tepat, membeli barang sendiri, dan memilih pusat servis yang lebih murah adalah antara langkah yang dapat memastikan kereta anda dijaga dengan baik tanpa menghabiskan banyak wang. Jangan lupa untuk memanfaatkan baucar promosi di media sosial bagi penjimatan tambahan!
