Menu

Prasarana Sediakan Pengangkutan Awam 24 Jam untuk Sambutan Hari Kebangsaan 2026 – Fahmi

Alyaa 1 day ago

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam selama 24 jam sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2026, bermula pada malam 30 Ogos sehingga 31 Ogos.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil bagi memudahkan pergerakan orang ramai pergi dan pulang ke Putrajaya untuk menyertai upacara sambutan.

“Prasarana sudah komited untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam selama 24 jam sempena Hari Kebangsaan 2026. Kita berharap ini bukan sahaja membantu lebih ramai orang datang ke Putrajaya, malah memudahkan perjalanan pulang selepas program selesai,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian, kenyataan itu dibuat Fahmi dalam sidang media selepas beliau merasmikan Majlis Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@Petronas di Petronas NPE Pantai Dalam. 

Berhubung pengedaran Jalur Gemilang tahun ini, Fahmi berkata reka bentuk berasaskan magnet telah ditambah baik supaya lebih mudah dipasang dan ditanggalkan pada kenderaan. Penambahbaikan itu dibuat berdasarkan maklum balas pengguna yang lebih menggemari pilihan tidak kekal berbanding pelekat yang dilekatkan terus pada kenderaan.

“Berdasarkan maklum balas sebelum ini, mereka lebih gemar menggunakan magnet berbanding pelekat yang dilekatkan terus pada kenderaan. Jadi, ini penambahbaikan yang kita buat tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi turut mengesahkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September akan berlangsung di Pusat Kebudayaan Borneo (BCCK) di Kuching, Sarawak, yang disifatkan beliau setanding dari segi skala dengan Pusat Konvensyen PICCA di Pulau Pinang, lokasi sambutan pada tahun lalu.

Pemilihan Kuching sebagai tuan rumah pada tahun ini turut selari dengan amalan penggiliran lokasi sambutan Hari Malaysia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

Sumber: Berita Harian


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads

– Advertisement –
Written By

– Advertisement –