KL International Airport (KLIA) Terminal 1 kini menawarkan pengalaman pengambilan penumpang e-hailing yang lebih teratur menerusi pengenalan beberapa fasiliti dan sistem baharu di Aras 1, Bangunan Terminal Utama. Penambahbaikan yang mula dilaksanakan pada 4 Ogos 2026 itu bertujuan memudahkan penumpang mendapatkan kenderaan e-hailing dengan lebih pantas, selain melancarkan pergerakan trafik dan meningkatkan kecekapan operasi di kawasan pengambilan.
Antara kemudahan baharu yang diperkenalkan ialah sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan atau License Plate Recognition (LPR), yang disepadukan dengan Passenger Information Display System (PIDS). Sistem ini membolehkan pergerakan kenderaan dipantau dengan lebih teratur, sekali gus membantu penumpang mengenal pasti kenderaan yang tiba. Turut disediakan ialah kiosk layan diri, ruang menunggu khas untuk penumpang, zon pengambilan yang lebih tersusun serta petugas marshal bagi membantu penumpang dan mengawal aliran trafik di kawasan tersebut.

Gambar: KL International Airport/Facebook
Sebagai sebahagian daripada operasi baharu itu, setiap kenderaan e-hailing yang memasuki kawasan pengambilan penumpang akan dikenakan caj masuk sebanyak RM3. Kenderaan hanya dibenarkan berada di kawasan pengambilan selama maksimum 10 minit. Caj penalti akan dikenakan sekiranya tempoh tersebut dilanggar bagi memastikan aliran trafik kekal lancar dan ruang pengambilan sentiasa tersedia untuk kenderaan lain.
MAHB memaklumkan bahawa inisiatif itu dibangunkan hasil sesi libat urus bersama pengendali e-hailing, dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Pelaksanaannya turut selaras dengan saranan Jawatankuasa Kerja Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan (NAFWC) dan dijangka menjadi penanda aras baharu dalam pengurusan perkhidmatan e-hailing di lapangan terbang negara.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, pengalaman penumpang tidak berakhir selepas mereka keluar dari terminal, sebaliknya turut merangkumi perjalanan ke destinasi seterusnya. Menurut beliau, penambahbaikan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KLIA untuk menyediakan perjalanan first mile dan last mile yang lebih lancar, teratur dan boleh dipercayai, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk antarabangsa bertaraf dunia.
Gambar utama: Airports Council International
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Harga Minyak 10–16 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Melonjak 25 Sen, Brent Cecah AS$97.31
BEST Express Malaysia Sokong Peniaga Tempatan dengan Penyelesaian Penghantaran Fleksibel
Jangan Terburu-Buru Beli Kereta, Semak 6 Perkara Ini Sebelum Membuat Keputusan
Harga Minyak 3–9 September 2026: RON97, RON95 dan Diesel Turun 5 Sen, Had BUDI Dinaikkan Ke 300 Liter
Harga Minyak 27 Ogos–2 Sept 2026: RON97, RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi Naik 5 Sen
Harga Minyak 20–26 Ogos 2026: RON97, RON95 dan Diesel Naik Sehingga 20 Sen Seliter