Kerajaan mengumumkan pelaksanaan mekanisme baharu subsidi diesel di seluruh negara menerusi program Budi Diesel yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026. Langkah ini menyaksikan penyeragaman harga runcit diesel serta kaedah pemberian subsidi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurut Kementerian Kewangan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyasaran subsidi agar manfaat dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.
Di bawah mekanisme baharu ini, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad di stesen minyak seluruh negara. Kerajaan menganggarkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan program ini.
Budi Diesel Akan Diintegrasikan Dengan Budi Madani RON95

Gambar: Kementerian Kewangan
Bagi memudahkan pelaksanaan, Budi Diesel akan disepadukan dengan sistem Budi Madani RON95 (Budi95).
MyKad akan digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan subsidi, manakala pembayaran boleh dibuat seperti biasa menggunakan tunai, kad debit, kad kredit atau e-dompet.
Bagi penerima sedia ada Budi Diesel Individu yang menerima bantuan tunai RM400 sebulan, mereka akan dipindahkan secara automatik ke mekanisme baharu ini tanpa perlu membuat permohonan baharu.
Akses awal kepada sistem Budi Diesel pula akan dibuka mulai 27 Jun 2026 untuk pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia sebagai persediaan sebelum pelaksanaan penuh pada 1 Julai.
Had Asas 200 Liter Sebulan, Pikap dan SUV Diesel Boleh Mohon Tambahan

Gambar: Kementerian Kewangan
Setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sebanyak 200 liter diesel bersubsidi sebulan.
Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon. Ini menjadikan jumlah had keseluruhan sebanyak 300 liter sebulan.
Permohonan tambahan 100 liter ini boleh dibuat mulai hari ini menerusi portal rasmi Budi Madani.
Subsidi Untuk Sektor Strategik dan Kritikal Dikekalkan

Gambar: Kementerian Kewangan
Walaupun mekanisme baharu diperkenalkan, subsidi diesel untuk sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan.
Antara yang terlibat ialah:
- Nelayan yang menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter
- Penerima Budi Agri-Komoditi yang terdiri daripada petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar
- Pengangkutan awam di bawah SKDS 1.0 yang menikmati diesel pada harga RM1.88 seliter termasuk bas sekolah dan bas ekspres
Selain itu, pelaksanaan SKDS turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi membolehkan kira-kira 70,000 kenderaan komersial yang layak menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan kad armada syarikat minyak.
Cara Nikmati Subsidi Budi Diesel

Gambar: Portal Budi Madani
Untuk menggunakan subsidi Budi Diesel, pengguna perlu menyemak kelayakan dan baki subsidi terlebih dahulu menggunakan MyKad atau aplikasi terpilih.
Selepas itu, pembelian diesel boleh dibuat seperti biasa di kaunter atau pam minyak dengan kaedah pembayaran yang tersedia, termasuk tunai, kad kredit, kad debit atau aplikasi terpilih.
Subsidi akan ditolak secara automatik selepas pengguna mengisi diesel. Sebagai contoh, jika harga pasaran diesel ialah RM4.50 seliter dan pengguna mengisi 10 liter, jumlah sebenar ialah RM45. Namun dengan subsidi RM2.10 seliter, pengguna hanya perlu membayar RM21 dan menikmati penjimatan sebanyak RM24.
Semakan Kelayakan Telah Dibuka
Orang ramai yang memiliki kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had bulanan masing-masing menerusi portal rasmi Budi Madani bermula hari ini.
Permohonan tambahan kuota 100 liter bagi pemilik pikap dan jip yang layak juga boleh dibuat melalui portal yang sama atau secara fizikal di pejabat LHDN termasuk di UTC.
Kerajaan memaklumkan bahawa pelaksanaan Budi Diesel akan terus dipantau dan sebarang penambahbaikan akan diumumkan dari semasa ke semasa bagi memastikan akses kepada diesel bersubsidi dapat diberikan kepada rakyat yang layak secara lebih berkesan.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Harga Minyak 13–19 Ogos 2026: RON97 Turun 20 Sen, RON95 Turun 15 Sen dan Diesel Turun 10 Sen
DuitNow Tergendala 4 Jam Pada 18 Ogos – Rancang Transaksi Anda Lebih Awal
Prasarana Sediakan Pengangkutan Awam 24 Jam untuk Sambutan Hari Kebangsaan 2026 – Fahmi
KTMB Tawar Diskaun RM15 Tiket ETS Sempena Promosi 8.8 Awesome August
Harga Minyak 6–12 Ogos 2026: RON97, RON95 dan Diesel Masing-masing Turun 5 Sen
KLIA Terminal 1 Tambah Baik Pengalaman E-Hailing dengan Fasiliti Digital Baharu