Caj Jalan ke Genting Highlands Bermula 28 Mei, Kereta dan Van Dikenakan Bayaran RM5
Perjalanan ke Genting Highlands selepas ini akan melibatkan kos tambahan apabila Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) akan mula melaksanakan caj jalan untuk pengguna tertentu bermula 28 Mei 2026.
Menurut LCSB, caj ini akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang memasuki Jalan Genting Highlands melalui dua lokasi utama, iaitu Genting Highlands Entry di Genting Sempah dan Gohtong Jaya Entry di bulatan Gohtong Jaya.
Bagi pengguna kereta dan van di bawah Kelas 1, caj yang dikenakan adalah RM5 bagi setiap kemasukan. Lori sederhana (Kelas 2) pula dikenakan RM15, lori berat (Kelas 3) RM25, teksi (Kelas 4) RM3.30 dan bas (Kelas 5) RM5.
Untuk kenderaan di bawah Kelas 2, 3, 4 dan 5, kemasukan perlu dibuat melalui Lorong Khas atau laluan Licence Plate Recognition (LPR).
Walau bagaimanapun, tidak semua pengguna jalan raya akan dikenakan caj ini. Motosikal dan kenderaan kecemasan dikecualikan tanpa perlu membuat sebarang pendaftaran.
Selain itu, kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bekerja di institusi kerajaan tertentu di Genting Highlands juga boleh menerima pengecualian, namun perlu berdaftar dengan LCSB terlebih dahulu.
LCSB turut akan memperkenalkan aturan khas untuk penduduk tetap Genting Highlands bermula 28 Jun 2026. Di bawah skim ini, penduduk yang layak boleh mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 dan memilih sama ada menikmati kadar 10% lebih rendah bagi setiap kemasukan atau mendapatkan pas enam bulan dengan kemasukan tanpa had.
Kenderaan berdaftar ini perlu menggunakan Lorong Khas atau laluan LPR. Bagaimanapun, tiada caj akan dikenakan kepada kenderaan berdaftar sebelum 28 Jun 2026.
Maklumat lanjut berkaitan prosedur pendaftaran, kategori pengecualian, kadar istimewa dan skim pas musim boleh dirujuk melalui laman web rasmi LCSB.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
