April 18, 2026

Had BUDI95 Diselaras Kepada 200 Liter Sebulan Mulai April, Harga Kekal RM1.99 Seliter

had-budi95

Kerajaan mengumumkan pelarasan had siling kelayakan di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa mulai April 2026.

Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam satu perutusan khas tentang langkah-langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Walaupun had dikurangkan, harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel bagi kumpulan sasaran turut dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Menurut kerajaan, pelarasan ini dibuat bagi mengurus peningkatan beban subsidi susulan kenaikan harga minyak mentah global yang kini melepasi paras AS$100 setong. Ketika ini, subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah sekitar RM4 bilion sebulan.

Bagaimanapun, perubahan had ini dijangka tidak menjejaskan majoriti pengguna, memandangkan hampir 90% penerima menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata sekitar 100 liter.

Dalam masa sama, had siling tambahan bagi pemandu e-hailing kekal pada 800 liter sebulan.

Kerajaan memaklumkan bahawa pelarasan ini bersifat sementara, sementara menunggu keadaan pasaran tenaga global kembali stabil serta memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar.


Nak dapatkan berita, maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp