KTMB Lancar Tren Percuma 24 Jam Sempena Thaipusam, Perkhidmatan ETS Diperluas Sepanjang Perayaan
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan berita baik untuk orang ramai sempena musim perayaan tahun ini. Bermula dengan sambutan Thaipusam, KTMB akan menyediakan perkhidmatan tren percuma selama 24 jam, selain meningkatkan kekerapan tren serta menambah perkhidmatan ETS bagi memenuhi permintaan tinggi sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Tren Percuma 24 Jam Sempena Thaipusam

Sempena Thaipusam yang jatuh pada 1 Februari 2026, KTMB akan mengendalikan operasi khas dari 30 Januari hingga 2 Februari. Perkhidmatan tren percuma boleh dinikmati oleh pengguna bermula 12.00 tengah malam 31 Januari hingga 11.59 malam 1 Februari.
Bagi menampung kehadiran besar penganut dan pengunjung, KTMB meningkatkan kekerapan tren sebanyak 23 peratus berbanding tahun lalu, dengan jangkaan hampir 2.5 juta pengguna sepanjang tempoh ini. Sebanyak 216 perjalanan tambahan akan disediakan ke Batu Caves, dengan tren tiba setiap satu jam.
Tiket boleh mula ditempah pada 26 Januari, dengan pelbagai kaedah bayaran disediakan termasuk KITS Wallet (QR), Touch ’n Go, kad Komuter Link, kad debit/kredit serta mesin tiket.
Bas Ulang-Alik dan Operasi Stesen 24 Jam

Bagi melancarkan pergerakan penumpang, KTMB turut menyediakan 30 bas ulang-alik tambahan yang beroperasi setiap 10 minit, selama 24 jam. Sebanyak 28 stesen akan beroperasi tanpa henti, termasuk Batu Caves, KL Sentral, Kuala Lumpur, Sentul, Subang, Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang.
Pengguna MRT yang ingin ke Batu Caves pula disarankan menggunakan laluan melalui Kwasa Sentral, Sungai Buloh, Sri Damansara Timur atau Tun Razak Exchange.
Menurut Anthony Loke, inisiatif tren percuma ini melibatkan kos hampir RM1 juta, namun penting bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan pengguna, terutamanya mereka yang jarang menggunakan pengangkutan awam.
Tambahan ETS Untuk Tahun Baharu Cina
Dalam perkembangan berkaitan, KTMB turut mengumumkan penambahan perkhidmatan ETS selepas tiket Tahun Baharu Cina hampir habis terjual. Perkhidmatan tambahan ini akan beroperasi dari 13 hingga 22 Februari di laluan popular seperti:
- KL Sentral – Butterworth
- KL Sentral – Ipoh
- KL Sentral – Johor Bahru
Sebanyak 26,460 tiket tambahan akan ditawarkan, menjadikan jumlah keseluruhan 52 perjalanan ETS sehari sepanjang tempoh tersebut. Jualan tiket dibuka pada 29 Januari.
Persediaan Awal Untuk Hari Raya Aidilfitri
Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, permintaan tiket ETS dilaporkan sangat tinggi dengan 44 peratus tiket telah terjual setakat ini. KTMB menjangkakan tiket akan habis sepenuhnya menjelang Februari.
Sebagai langkah awal, perkhidmatan ETS tambahan akan diperkenalkan dari 13 hingga 29 Mac di laluan utama seperti:
- JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral
- KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral
- KL Sentral – Ipoh – KL Sentral
- KL Sentral – Butterworth – KL Sentral
Langkah ini bertujuan memastikan perjalanan balik kampung lebih selesa dan terancang.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, orang ramai disarankan melayari laman rasmi KTMB atau saluran media sosial mereka di Facebook (KTM Berhad) atau Instagram (@ktmbofficial).
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
