February 14, 2026

KTM Umum Kategori Baru MyRailLife, Kanak-Kanak 4–6 Tahun Kini Layak Menikmati Perjalanan Percuma!

my-raillife

Jika sebelum ini Pas MyRailLife hanya memfokuskan kepada pelajar sekolah dan golongan OKU, kini ada satu tambahan kategori baru yang sangat dinantikan. Bermula 1 Januari 2026, kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun kini layak untuk menikmati perjalanan PERCUMA tanpa had menggunakan perkhidmatan kereta api KTM!

Kategori Yang Layak untuk Pas My RailLife

Langkah ini pastinya membantu meringankan beban kewangan keluarga, terutama bagi mereka yang sering berulang-alik membawa anak-anak kecil. Berikut adalah ringkasan kategori yang layak:

  • Kanak-kanak: Berusia 4 hingga 6 tahun (Kategori Baru).
  • Pelajar: Berusia 7 hingga 17 tahun.
  • Pelajar Tingkatan 6: Berumur 18 tahun dan ke atas.
  • OKU: Individu yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Pas MyRailLife ini boleh digunakan untuk tiga perkhidmatan utama iaitu KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utara, dan juga Shuttle Timuran (laluan Gemas – Tumpat).

Cara Pendaftaran Pas MyRailLife

Anda boleh mendaftar melalui tiga saluran mudah:

  1. Aplikasi KITS Style (Lebih pantas dan mesra pengguna).
  2. Secara Dalam Talian: Layari https://bit.ly/4qEUNNO.
  3. Kaunter Stesen: Terus ke mana-mana kaunter stesen KTM berdekatan.
  4. Mesin Kios Tiket Stesen Perkhidmatan Komuter dan Stesen Perkhidmatan Shuttle Timuran (Bagi kanak-kanak bawah 6 tahun sahaja mulai 15 Januari 2025)

Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian

Inisiatif ini sangat berbaloi untuk semua yang terlibat memandangkan ia adalah percuma. Bagi ibu bapa yang tinggal di kawasan terlibat, inilah masanya untuk membiasakan anak-anak dengan pengangkutan rel tanpa perlu memikirkan kos tambang.

Beberapa perkara penting untuk diperhatikan:

  • Pastikan anda membawa dokumen sokongan seperti MyKid, kad OKU atau surat pengesahan pelajar semasa pendaftaran di kaunter untuk pengesahan.
  • Walaupun tambang adalah percuma, anda tetap perlu memiliki pas atau kad fizikal MyRailLife untuk melepasi pintu pagar automatik (gate).
  • Jangan lupa untuk memperbaharui pas anda mengikut tempoh sah yang ditetapkan agar perjalanan anda tidak terganggu.
  • Pas MyRailLife tidak boleh digunakan di rangkaian Rapid KL dan Rapid Penang serta ERL.

Jom manfaatkan kemudahan ini dan jimatkan belanja pengangkutan keluarga anda!

Untuk maklumat lanjut, layari media sosial rasmi KTM Berhad di Facebook (KTM Berhad) atau Instagram (@ktmbofficial). 


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp