Cuti Umum 2026 Sempena Hari Wesak Dan Hari Keputeraan Agong, Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu
Bagi anda yang sedang merancang cuti dalam masa terdekat, dua tarikh penting ini mungkin menimbulkan persoalan tentang berapa hari cuti yang akan diterima, iaitu Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Hari Wesak telah ditetapkan pada 31 Mei 2026, iaitu hari Ahad, manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pula jatuh pada 1 Jun 2026, hari Isnin.
Sekilas pandang, ia mungkin nampak seperti cuti biasa. Namun, bagi pekerja sektor swasta, tarikh ini penting kerana ia melibatkan cuti berbayar, kemungkinan cuti gantian serta bayaran khas sekiranya perlu bekerja pada hari cuti umum.
Hari Keputeraan Agong Adalah Cuti Wajib Berbayar
Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu daripada lima hari kelepasan am berbayar yang wajib diberikan kepada pekerja oleh majikan sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Cuti ini juga tidak boleh diganti dengan hari lain, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.
Ini bermaksud, bagi pekerja yang layak, 1 Jun 2026 perlu diberikan sebagai hari kelepasan am berbayar.
Hari Wesak Boleh Dipilih Sebagai Cuti Berbayar
Bagi Hari Wesak pula, ia merupakan cuti umum berbayar yang boleh dipilih oleh majikan untuk mencukupkan baki enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberikan kepada pekerja.
Namun begitu, memandangkan Hari Wesak 2026 jatuh pada hari Ahad, iaitu hari rehat mingguan bagi sesetengah pekerja, hari kerja berikutnya perlu dijadikan sebagai cuti gantian berbayar sekiranya Hari Wesak dipilih sebagai cuti berbayar oleh majikan.
2 Jun 2026 Boleh Jadi Cuti Gantian
Bagi majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai hari rehat mingguan dan memilih Hari Wesak sebagai cuti kelepasan am berbayar, pekerja perlu diberikan cuti gantian pada 2 Jun 2026, iaitu hari Selasa.
Dalam situasi ini, aturan cuti adalah seperti berikut:
- 31 Mei 2026 (Ahad) – Hari Wesak
- 1 Jun 2026 (Isnin) – Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong
- 2 Jun 2026 (Selasa) – Cuti gantian bagi Hari Wesak, tertakluk kepada kelayakan dan aturan majikan
Walau bagaimanapun, cuti gantian ini boleh digantikan dengan hari lain sekiranya mendapat persetujuan pekerja, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kerja 1955.
Oleh itu, majikan dan pekerja disarankan untuk memahami aturan cuti umum ini dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan, terutamanya apabila cuti jatuh pada hari rehat mingguan.
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!
