Perjalanan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027 kini bermula secara rasmi apabila logo, tema dan maskot temasya itu dilancarkan pada Isnin, 13 Julai 2026.
Majlis Pelancaran Logo, Maskot dan Tema Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Malaysia 2027 disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dan dianjurkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027. Turut hadir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penganjuran kali ini menandakan kali ketujuh Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara itu dan buat pertama kali dalam sejarah, upacara pembukaan rasmi akan diadakan di Kuching, Sarawak, dengan sebahagian acara turut berlangsung di Bumi Kenyalang.
‘Raikan Perpaduan’ — Lebih Daripada Sekadar Slogan

Gambar: SEA Games Malaysia 2027/Facebook
Tema rasmi ‘Raikan Perpaduan’ atau ‘Celebrating Unity’ dipilih kerana mencerminkan kekuatan sebenar Malaysia dan rantau ASEAN. Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tema ini diharap mampu menghubungkan rakyat serta atlet pelbagai negara melalui nilai kesukanan.
Dr. Mohamed Taufiq Johari dalam ucapannya berkata, “Tema kali ini akan menjadi cerminan semangat perpaduan yang berdaya tahan, dan memiliki kesinambungan masa depan sukan rantau ini. Tema ini juga akan menjadi seruan dan pencetus semangat kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan mereka dalam mencapai kejayaan.”
“Logo yang direka melambangkan dinamisme, kepelbagaian budaya, dan keharmonian rakyat di Asia Tenggara, yang diadun dengan identiti Malaysia yang progresif manakala maskot bukan sekadar identiti visual, malah melambangkan keberanian, semangat kesukanan yang dinamik, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan berteraskan teknologi”.
Beliau turut menekankan hasrat menjadikan Malaysia sebagai jambatan perpaduan bagi negara-negara ASEAN, menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa sukan mampu menyatukan semua pihak, walaupun dalam keadaan krisis global, ketidaktentuan dan perpecahan.
Kenali TUAH, Wira Moden Yang Futuristik

Gambar: Mordi Bimol/Facebook
Berbeza dengan edisi-edisi sebelum ini yang menampilkan maskot berasaskan haiwan, maskot rasmi kali ini, iaitu TUAH, mengambil pendekatan baharu dengan reka bentuk karakter futuristik yang diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mudah didekati.
Nama TUAH dipilih berasaskan empat nilai teras: Kebersamaan, Perpaduan, Aspirasi dan Keharmonian. Ia turut membawa pengertian kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang lahir daripada usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan dan perpaduan sekali gus melambangkan generasi baharu Malaysia yang berani, dinamik, berkeyakinan dan mesra.
Menurut Mohammed Taufiq, konsep maskot ini dibangunkan dengan mengambil kira elemen inklusiviti supaya mampu diterima oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, usia dan latar belakang. Reka bentuk futuristiknya pula melambangkan hala tuju Malaysia sebagai negara progresif yang bergerak ke arah era digital dan berteraskan teknologi.
Yang paling penting, jelas beliau, bukanlah rupa maskot itu semata-mata, tetapi nilai yang dibawanya termasuk pakaian berwarna Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme, perpaduan dan kebanggaan rakyat Malaysia.
Enam Elemen Di Sebalik Logo Rasmi

Gambar: SEA Games Malaysia 2027/Facebook
Logo rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 direka sebagai identiti visual yang moden, dinamik dan mudah dikenali di peringkat antarabangsa. Setiap elemen membawa simboliknya yang tersendiri:
- Huruf “M” — Asas keseluruhan reka bentuk yang mewakili Malaysia sebagai tuan rumah; sebuah negara progresif, terbuka dan bersedia mengalu-alukan seluruh komuniti ASEAN.
- Angka 27 — Garisan logo membentuk angka 27, melambangkan tahun penganjuran serta menjadikan identiti temasya lebih unik dan mudah diingati.
- Bentuk Atlet — Siluet atlet yang mara ke hadapan melambangkan keberanian, semangat juang, ketabahan dan keazaman, sekali gus menggambarkan atlet sebagai nadi utama temasya.
- Bunga Raya — Bunga kebangsaan Malaysia yang melambangkan perpaduan, keharmonian, keberanian dan semangat kebangsaan, dengan kedudukannya menggambarkan Malaysia sebagai negara yang menyambut dan menyatukan komuniti ASEAN.
- Warna Jalur Gemilang — Gabungan biru, merah dan kuning yang diinspirasikan daripada bendera negara, melambangkan perpaduan, keberanian, kemakmuran dan semangat kebangsaan.
- 11 Pecahan Elemen — Bahagian grafik logo yang terdiri daripada 11 pecahan melambangkan negara anggota ASEAN yang bersatu dalam satu semangat kesukanan.
Selain melancarkan identiti temasya, Mohammed Taufiq turut memaklumkan bahawa kontinjen negara menyasarkan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan — pencapaian yang kali terakhir diraih ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2017.
Sukan SEA Ke-34 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN Ke-14 akan menyusul dari 17 hingga 23 Oktober 2027.
Gambar utama: Taufiq Johari/Facebook
Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah!

Tune Talk Turns 17 Birthday Bash: Festival Percuma dengan Konsert, Bazar Makanan dan Hadiah RM160,000
iQOO 15 Tampil Sebagai Peranti Rasmi untuk Aksi Esports SUKMA XXII Selangor 2026
MAHA 2026 Kembali 28 Ogos, Ini Apa yang Menanti Anda di MAEPS Serdang
Menangi Perjalanan ke Melbourne Bersama Azizulhasni Awang Menerusi Cabaran MHsports Malaysia Airlines
POCO Carnival 2026 Kembali Sempena Ulang Tahun Ke-8, Tawar Diskaun Peranti Hingga RM500
SUKMA Selangor 2026: Temasya Sukan Terbesar Negara Kembali ke Bumi Darul Ehsan