February 13, 2026

Siri REDMI Note 15 Rasmi di Malaysia Bermula RM799, Fokus Ketahanan dan Keupayaan Kamera

redmi-note-15

Xiaomi secara rasminya telah melancarkan siri REDMI Note 15 di Malaysia yang terdiri daripada empat model utama iaitu REDMI Note 15, REDMI Note 15 5G, REDMI Note 15 Pro 5G dan REDMI Note 15 Pro+ 5G. Barisan peranti ini menyasarkan pengguna yang mencari keseimbangan antara ketahanan, prestasi dan ciri moden untuk kegunaan harian.

Kesemua model dalam siri ini membawakan piawaian baharu yang dikenali sebagai REDMI Titan Durability, direka khusus untuk menangani cabaran penggunaan seharian menerusi ketahanan jatuh yang diperkukuh, perlindungan habuk dan air yang lebih baik, serta prestasi bateri yang tahan lama.

Walaupun model standard menumpukan fungsi praktikal, varian Pro dan Pro+ pula menerajui aspek inovasi dengan teknologi pengimejan canggih serta prestasi bertaraf peranti mercu (flagship).

Spesifikasi Siri REDMI Note 15 

REDMI Note 15 

Bagi model REDMI Note 15 (LTE), ia menampilkan paparan AMOLED FHD+ 6.77 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 3,200 nits. Dikuasakan oleh cip MediaTek Helio G100 Ultra, ia menawarkan 8GB RAM dan 256GB storan dalaman.

Bateri berkapasiti 6,000mAh menyokong pengecasan pantas 33W serta pengecasan terbalik 18W, mampu bertahan sehingga dua hari penggunaan. Sistem kameranya terdiri daripada kamera utama 108MP dan sensor kedalaman 2MP, manakala kamera hadapan dilengkapi 20MP.

Peranti ini juga menyokong pembesar suara stereo, pengimbas cap jari sisi, NFC, dan menjalankan Xiaomi HyperOS dengan jaminan kemas kini perisian.

REDMI Note 15 5G

REDMI Note 15 5G menampilkan reka bentuk ultra-nipis 7.35mm dengan paparan AMOLED FHD+ 6.77 inci, kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak 3,200 nits. Ia dikuasakan oleh Snapdragon 6 Gen 3, dengan pilihan hingga 12GB RAM dan storan 512GB.

Bateri 5,520mAh menyokong pengecasan pantas 45W dan pengecasan berbalik 18W, mampu bertahan sehingga 1.5 hari penggunaan. Dari segi kamera, ia hadir dengan kamera utama 108MP dengan OIS, lensa ultra lebar 8MP, serta kamera swafoto 20MP.

Peranti ini juga menawarkan pembesar suara stereo, NFC, Bluetooth 5.1, dan perisian HyperOS dengan 4 tahun kemas kini OS dan 6 tahun kemas kini keselamatan. Dengan penarafan ketahanan IP66 dan skrin lasak, model ini sesuai untuk penggunaan harian yang aktif.

REDMI Note 15 Pro 5G

REDMI Note 15 Pro 5G dibina dengan ketahanan “Titan Tough”, menggabungkan papan induk berkekuatan tinggi dengan rangka tengah yang diperkukuh, membolehkannya menahan jatuhan hingga 2.5 meter. Dari segi paparan, ia dilengkapi AMOLED 6.83 inci 1.5K dengan kecerahan puncak 3,200 nits dipadankan dengan sistem audio yang menawarkan lonjakan kelantangan 400%.

Kamera utama 200MP HPE dengan AI Engine baharu menghasilkan imej ultra-jelas, serta zoom optikal 2x dan 4x. Dengan bateri 6,580mAh Silicon-Carbon (SiC), ia turut menyokong pengecasan 45W dan pengecasan terbalik 22.5W, menawarkan hayat bateri panjang sehingga enam tahun pada kapasiti 80% selepas 1,600 kitaran pengecasan.

Model ini turut menyokong Wet Touch 2.0 dan penarafan perlindungan air IP68/IP69K.

REDMI Note 15 Pro+ 5G

Model paling premium dalam siri ini, REDMI Note 15 Pro+ 5G, dikuasakan oleh Snapdragon® 7s Gen 4 dengan sistem penyejukan Xiaomi IceLoop untuk kecekapan haba yang lebih baik. Ia mempunyai bateri 6,500mAh dengan sokongan 100W HyperCharge dan pengecasan berbalik 22.5W, menjadikannya salah satu peranti paling pantas dicas dalam siri ini.

Paparan AMOLED 6.83 inci 1.5K dilengkapi Dolby Vision dan audio Dolby Atmos, manakala panel belakang gentian kaca menyokong ketahanan “Titan Tough” dengan penyerapan impak maksimum. Kamera utama 200MP dengan OIS dan AI Engine baharu menyokong zoom optikal 2x/4x, rakaman video 4K, serta suntingan pintar seperti AI Erase Pro dan AI Beautify.

Peranti ini juga memperkenalkan Xiaomi Offline Communication untuk panggilan suara tanpa rangkaian selular dan Xiaomi Surge T1S Tuner untuk kestabilan Wi-Fi, Bluetooth, dan GPS.

Harga dan Ketersediaan di Malaysia

Harga REDMI Note 15

  • 8GB + 256GB: RM 799

Model ini adalah eksklusif dalam talian di mi.com, Lazada, Shopee, dan TikTok Shop.

Harga REDMI Note 15 5G

  • 6GB + 128GB: RM 849
  • 8GB + 256GB: RM 949

Promosi pembeli awal (16 Jan – 28 Feb 2026): Percuma Xiaomi Sound Pocket bernilai RM69.

Harga REDMI Note 15 Pro 5G

  • 12GB + 256GB: RM 1,399
  • 8GB + 512GB: RM 1,399 (Harga asal RM1,599)

Harga REDMI Note 15 Pro+ 5G

  • 12GB + 256GB: RM 1,699
  • 12GB + 512GB: RM 1,699 (Harga asal RM 1,899)

Promosi Pra-pesanan (16-21 Jan 2026): Percuma Redmi Pad SE 8.7″ bersama pelindung (RM748) dan kemas kini storan percuma bernilai RM200.

Semua pembeli awal sehingga 28 Februari akan menerima naik taraf storan percuma kepada model 512GB secara automatik.


Nak dapatkan maklumat promosi atau tips & tricks dengan lebih pantas? Ikuti Hrga.MY di kesemua platform media sosial rasmi kami di bawah! 👇🏻

Facebook | Instagram | TikTok | X.com | Threads | Whatsapp